Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

PENGEBOMAN DI LUAR GEREJA INDONESIA

2 dalang pengeboman dipercayai dari kumpulan pelampau Daesh

Mar 30, 2021 | 05:30 AM



JAKARTA: Pengeboman bunuh diri di gereja Indonesia kelmarin dilakukan oleh dua anggota kumpulan pelampau Daesh yang juga dipersalahkan atas letupan gereja lain, termasuk serangan maut di Filipina pada 2019, kata polis.



Kira-kira 20 penganut Kristian cedera akibat letupan kuat di luar gereja di bandar Makassar di pulau Sulawesi ketika mereka menyambut permulaan Minggu Suci.



Kedua-dua suspek dalam serangan itu terbunuh ketika mereka menunggang sebuah motosikal ke pekarangan gereja, sebelum meledakkan apa yang dikatakan pihak berkuasa sebagai alat peledak buatan yang dikenali sebagai bom periuk tekanan.



Seorang pengawal keselamatan gereja cuba menghalang kededua pelaku masuk apabila letupan berlaku, tambah mereka.



Jurucakap Polis Nasional, Inspektor Jeneral Argo Yuwono, berkata dua individu menaiki motosikal cuba memasuki pekarangan gereja selepas penganut Kristian selesai beribadah.



"Selain dua suspek pengebom itu, polis turut menyiasat cebisan anggota badan lain yang ditemui di lokasi kejadian manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital berhampiran," katanya.



Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sulawesi Selatan, Inspektor Jeneral Merdisyam, berkata walaupun letupan yang berlaku amat kuat, gereja berkenaan tidak mengalami kerosakan teruk.



Terdahulu, Paderi Wilhelmus Tulak, memberitahu Kompas TV bahawa beliau mendengar "letupan sangat kuat" kira-kira jam 10.30 pagi, selepas upacara ibadah kedua selesai.



"Dua individu menaiki motosikal mahu memasuki (pekarangan gereja) tetapi ditahan pengawal keselamatan (di pintu gerbang) yang sudah memerhatikan mereka berkelakuan 'mencurigakan' apabila letupan berlaku," katanya.



Gereja Besar Makassar terletak berhampiran Taman Karebosi, yang juga lokasi orang ramai gemar bersenam.



Lewat kelmarin, Ketua Polis Nasional, Jeneral Drs Listyo Sigit Prabowo, menyatakan bahawa kedua-dua penyerang - seorang lelaki dan seorang wanita - adalah anggota Jamaah Ansharut Daulah (JAD), sebuah kumpulan ekstremis yang juga dipersalahkan atas pengeboman gereja yang menyebabkan kematian di bandar kedua terbesar di Indonesia, Surabaya pada 2018.



Jeneral Prabowo tidak memberikan nama atau menyatakan bagaimana mereka dikenal pasti, tetapi pemeriksa forensik melakukan ujian DNA pada bahagian tubuh yang bertaburan di lokasi kejadian.



"Terdapat dua pelaku yang terbunuh, seorang lelaki dan seorang wanita," kata Jeneral Prabowo.



"Mereka anggota kumpulan JAD yang melakukan serangan bom di Jolo di Filipina."



Tidak jelas sama ada dalang serangan itu adalah pasangan suami isteri.



Seorang militan Indonesia dan isterinya - anggota JAD - dipersalahkan atas dua letupan yang meletupkan sebuah gereja Katolik di pulau Jolo yang majoriti Muslim di Filipina pada 2019, membunuh penganut Kristian dan pasukan keselamatan.



Dua militan lain yang dikaitkan dengan serangan itu ditembak mati oleh pasukan keselamatan Indonesia awal tahun ini.



Seorang saksi pengeboman kelmarin menggambarkan dikejutkan dua letupan "sangat kuat" dan kemudian melihat kepulan asap, serangan yang mencederakan kira-kira 20 pegawai gereja, penganut Kristian dan anggota keselamatan.



Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo, mengutuk keras tindakan keganasan terbaru yang melanda negara itu.



"Keganasan adalah kejahatan terhadap umat manusia," katanya kelmarin.



"Saya menyeru semua orang supaya memerangi keganasan dan radikalisme, yang bertentangan dengan nilai-nilai agama," ujarnya yang lebih mesra dengan panggilan 'Jokowi' itu.



Pertubuhan hak asasi manusia, Amnesty International, menyatakan pengeboman itu menunjukkan 'penghinaan sepenuhnya' terhadap hak asasi manusia.



Letupan di gereja Katolik utama di Makassar - sebuah bandar pelabuhan dengan kira-kira 1.5 juta penduduk - berlaku sejurus selepas penganut Kristian selesai merayakan Palm Sunday - permulaan Minggu Suci bagi agama itu. - AFP.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >