Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

2 maut, 5 cedera dalam satu lagi kes kren runtuh di pinggir Bangkok

Jan 15, 2026 | 2:11 PM
kren, roboh, terbunuh
Sebuah kren runtuh di tapak pembinaan lebuh raya di pinggir bandar Bangkok, mengorbankan dua orang dalam kejadian pada 15 Januari 2026. - Foto FACEBOOK FIRE AND RESCUE THAILAND

BANGKOK: Sebuah kren di tapak pembinaan lebuh raya di pinggir bandar Bangkok runtuh pada 15 Januari, membunuh dua orang, kata seorang ketua polis tempatan, sehari selepas sebuah kren tumbang di atas kereta api di Thailand yang meragut 32 nyawa.

Kejadian terkini berlaku pada waktu pagi di Lebuh Raya Rama II yang sedang dalam pembinaan di wilayah Samut Sakhon, di luar Bangkok, kata Kolonel Polis, Encik Sitthiporn Kasi.

Kren itu, yang terlibat dalam pembinaan lebuh raya bertingkat, tumbang ke atas jalan raya di bawahnya, kata Encik Kasi.

Seorang lagi pegawai polis menyatakan lima orang juga cedera dalam kemalangan itu.

Media tempatan melaporkan kejadian itu berlaku di depan Hotel Paris Inn Garden, dengan rakaman menunjukkan debu dan runtuhan bertaburan di seluruh tapak binaan selepas sebuah kren besar tumbang ke atas struktur konkrit bertingkat.

Lebuh Raya Rama II menjadi tuan rumah kepada beberapa projek prasarana utama, termasuk pembinaan lebuh raya bertol, yang telah menyaksikan beberapa kemalangan maut dalam beberapa tahun kebelakangan ini, menjadikannya diberi jolokan ‘Jalan Maut’.

Kejadian pada 15 Januari menyusuli tragedi kren tumbang di wilayah Nakhon Ratchasima, timur laut ibu kota Bangkok, sehari sebelumnya.

Dalam kejadian berkenaan, kren besar yang digunakan dalam pembinaan projek kereta api berkelajuan tinggi yang disokong China, runtuh lalu menghempap sebuah tren penumpang di bawahnya, menyebabkan ia tergelincir.

Seramai 32 orang dilaporkan maut dalam kejadian tersebut.

Daripada 195 penumpang di dalam kereta api itu, 66 orang turut cedera, kata pihak berkuasa.

Kren yang runtuh itu dibiarkan tersadai di atas tiang konkrit gergasi – dibina untuk menampung laluan kereta api berkelajuan tinggi itu.

Manakala gerabak kereta api yang remuk dilihat terbiar dalam keadaan senget.

Sekumpulan anggota penyelamat menggunakan kren daripada kontraktor projek kereta api berkelajuan tinggi Italian-Thai Development untuk menyisihkan serpihan.

Firma itu mengucapkan takziah, dan berjanji untuk memberi pampasan kepada keluarga mangsa dan menampung perbelanjaan perubatan untuk mereka yang cedera.

Perdana Menteri Thailand Encik Anutin Charnvirakul, yang melawat tempat kejadian beberapa jam selepas kemalangan itu, berkata ia “jelas merupakan kesalahan syarikat pembinaan”.

“Kita mesti menentukan puncanya supaya kejadian ini dapat dijadikan pengajaran,” katanya kepada pemberita.

Syarikat itu telah diarah menghentikan pembinaan sehingga siasatan selesai. – AFP, Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg