Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

2 pengebom maut dalam letupan di luar gereja Indo

Hingga 19 lain cedera dalam kejadian di pekarangan gereja Katolik di Makassar; Presiden Jokowi arah siasatan dijalankan
Mar 29, 2021 | 5:30 AM
SERPIHAN MAYAT: Anggota forensik polis dilihat membawa beg mayat menyusuli satu percubaan untuk mengebom sebuah gereja di Makassar yang sedang menyambut minggu suci 'Palm Sunday'. Kededua suspek yang menaiki motosikal bagaimanapun tidak sempat masuk ke dalam gereja, sebaliknya ditahan di pekarangan gereja sebelum meledakkan letupan. - Foto EPA-EFE
SERPIHAN MAYAT: Anggota forensik polis dilihat membawa beg mayat menyusuli satu percubaan untuk mengebom sebuah gereja di Makassar yang sedang menyambut minggu suci 'Palm Sunday'. Kededua suspek yang menaiki motosikal bagaimanapun tidak sempat masuk ke dalam gereja, sebaliknya ditahan di pekarangan gereja sebelum meledakkan letupan. - Foto EPA-EFE -

JAKARTA: Satu letupan di luar sebuah gereja Katolik di ibu kota wilayah Sulawesi Selatan, Makassar, semalam, mengorbankan dua suspek pengebom bunuh diri dan mencederakan sekurang-kurangnya 19 orang, kata polis.

Dua orang yang menunggang motosikal cuba memasuki pekarangan gereja itu setelah perhimpunan penganut atau mass berakhir, kata jurucakap Polis Negara, Ketua Polis Negara Argo Yuwono.

"Dua orang itu disuruh berhenti oleh pegawai keselamatan di gereja apabila letupan itu berlaku," katanya kepada wartawan, sambil menambah kejadian itu berlaku pada 10.20 pagi waktu tempatan.

Beliau menambah selain dua pengebom yang disyaki itu, polis juga sedang menyiasat bahagian badan lain yang ditemui di tempat kejadian.

Mereka yang cedera dirawat di hospital berdekatan, katanya, menurut laporan The Straits Times.

Presiden Joko Widodo mengutuk keras kejadian pengganasan itu.

Beliau telah mengarahkan ketua polis negara agar menyiasat serangan itu dan menumpaskan jaringan yang berkait dengan pelaku.

"Pengganasan adalah jenayah terhadap kemanusiaan dan tidak berkait dengan sebarang agama pun. Semua ajaran agama menolak pengganasan, apa pun sebabnya," katanya.

"Jentera negara tidak akan membenarkan tindakan pengganas sedemikian dan saya menyeru orang ramai agar beribadah dengan tenang, kerana negara menjamin keselamatan penganut untuk beribadah tanpa rasa takut."

Ketua Polis Sulawesi Selatan, Ketua Polis Negara Merdisyam, memberitahu wartawan bahawa pengeboman itu menggunakan "letupan tinggi", tetapi tidak ada kerosakan yang ketara di gereja itu.

Rakaman kamera keselamatan menunjukkan letupan mencetuskan kebakaran, asap serta serpihan yang berselerak di tengah jalan.

Polis telah mengepung kawasan sekitar gereja itu dan sebuah pasukan pengenalan mangsa bencana sedang menyiasat kejadian itu.

Mereka juga belum menentukan kumpulan mana mungkin bertanggungjawab ke atas serangan itu.

Paderi di gereja itu, Encik Wilhelmus Tulak, dilaporkan memberitahu Kompas TV bahawa beliau mendengar "letupan yang sangat kuat" sekitar 10.30 pagi, setelah mass kedua selesai.

"Dua orang yang menaiki motosikal mahu memasuki (pekarangan gereja), tetapi seorang pegawai keselamatan menahan mereka (di pagar)... kemudian letupan berlaku," katanya, sambil menambah bahawa pegawai keselamatan itu sebelumnya telah memerhatikan dua orang yang "mencurigakan" itu.

Beberapa penganut yang berada dekat lokasi letupan itu dan terkena kaca yang berterbangan dari tingkap yang pecah juga cedera, kata Encik Wilhelmus.

Seperti ramai orang di bahagian lain dunia, penganut agama Katolik di Indonesia semalam menyambut Palm Sunday iaitu hari pertama Minggu Suci yang akan berakhir dengan Easter, yang tahun ini jatuh pada 4 April.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg