
NEW YORK: Sekitar 20 juta rakyat Amerika Syarikat (AS) meletakkan jawatan dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.
Dikenali sebagai fenomena 'Great Resignation' atau peletakan jawatan besar-besaran, kini ramai menyesali membuat keputusan tersebut, menurut satu tinjauan terbaru.
Lebih daripada satu perempat daripada mereka yang meletak jawatan mempertimbangkan semula sama ada mereka mengambil langkah yang betul.
Kajian itu dibuat terhadap lebih 15,000 pencari kerja yang dijalankan sejak tiga bulan lalu oleh Joblist, wadah pencarian pekerjaan berasaskan kecerdasan buatan.
Lonjakan dalam peletakan jawatan telah dikaitkan dengan risiko Covid-19 di tempat kerja, peluang baru dengan bekerja dari rumah dan warga AS telah memikirkan semula kehidupan profesional mereka di tengah-tengah kegawatan pandemik.
Menurut laporan, walaupun gaji yang lebih tinggi boleh menjadi faktor besar mengekalkan pekerja, namun kebanyakan individu kini lebih menghargai fleksibiliti untuk bekerja dari rumah.
Kadar berhenti kerja tahun ini adalah sekitar dua kali ganda berbanding sedekad yang lalu.
Tinjauan Joblist mendapati ramai rakyat AS kini berasa lebih terdesak untuk mencari kerja di tengah-tengah petunjuk bahawa keadaan pasaran pekerjaan mula berubah.
Kira-kira separuh daripada pencari kerja menjangkakan pasaran buruh akan menjadi lebih teruk dalam tempoh enam bulan akan datang.
Selain itu, dalam kalangan mereka yang mendapat pekerjaan baharu selepas berhenti, 42 peratus mengatakan bahawa ia tidak memenuhi jangkaan mereka.
Ada juga yang mendapati bahawa mereka merindui rakan sekerja.
Ketua Pegawai Eksekutif Joblist, Encik Kevin Harrington, berkata:
"Hubungan sosial selalunya diremehkan. Ramai menghabiskan banyak masa di tempat kerja seperti yang mereka lakukan dengan keluarga dan rakan-rakan.
"Bagi mereka yang membina hubungan peribadi yang kukuh dengan rakan sekerja, boleh memberi impak yang besar terhadap cara mereka melihat pekerjaan dan kemungkinan mereka kekal di dalam pekerjaan."
Dapatan kajian itu mendapati tahap penyesalan berbeza-beza mengikut bidang kerjaya.
Pekerja penjagaan kesihatan, yang berada di bawah tekanan yang teruk dek wabak Covid-19 didapati paling kurang merasakan bahawa mereka melakukan kesilapan ketika membuat keputusan berhenti kerja.
Hanya sekitar 14 peratus daripada mereka yang berhenti kerja mengatakan mereka menyesalinya.
Anggaran menunjukkan bahawa secara keseluruhan, seramai 75.5 juta orang di AS telah meletak jawatan pada 2021.
Trend berhenti kerja besar-besaran ini bermula pada 2020 apabila pandemik Covid-19 bermula dan kebanyakan syarikat menghentikan perkhidmatan pekerja bagi mengurangkan kos.
Impak daripada situasi berkenaan, pekerja sedia ada atau yang dikekalkan berdepan bebanan kerja berlebihan dan mengalami keletihan kolektif atau 'burnout'.
Pekerja bergaji rendah cenderung meletak jawatan berbanding mereka yang bergaji lebih tinggi dengan sektor paling terjejas termasuk hospitaliti, penjagaan kesihatan, pengangkutan, pergudangan dan utiliti.
Peletakan Jawatan Besar-Besaran ini sebahagian besarnya didorong oleh keletihan tetapi faktor lain juga termasuk peralihan kepada bekerja dari rumah dan keinginan untuk beralih pada kerjaya lebih stabil. - Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg