DHAKA: Kira-kira 250 orang, termasuk kanak-kanak, dikhuatiri hilang selepas sebuah bot yang membawa pelarian Rohingya dan warga Bangladesh terbalik di Laut Andaman, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 14 April.

“Kapal pukat tunda itu, yang berlepas dari Teknaf di selatan Bangladesh dan dalam perjalanan ke Malaysia, dilaporkan karam akibat angin kencang, laut bergelora dan kesesakan,” kata Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR) dalam satu kenyataan.

Beribu-ribu warga Rohingya, minoriti Muslim Myanmar, mempertaruhkan nyawa mereka setiap tahun dengan melarikan diri daripada penindasan dan perang saudara di negara mereka.

Mereka melarikan diri dengan menaiki bot yang selalunya sesak dengan penumpang.

Dalam kes terkini melibatkan bot yang karam itu, warga Rohingya itu berkemungkinan besar berlindung di kem di Cox’s Bazar, Bangladesh, yang menempatkan lebih sejuta pelarian.

Mereka melarikan diri dari wilayah Rakhine di barat Myanmar.

Wilayah Rakhine telah menjadi tempat pertempuran sengit antara tentera Myanmar dengan tentera Arakan, sebuah kumpulan pemberontak etnik minoriti, yang cuba untuk menguasai wilayah tersebut.

Punca sebenar berkaitan dengan kejadian bot karam itu masih tidak jelas, tetapi maklumat awal menunjukkan bot itu membawa kira-kira 280 orang dan meninggalkan Bangladesh pada 4 April.

Pengawal Pantai Bangladesh (BCG) berkata salah satu kapalnya, yang dalam perjalanan ke Indonesia, berjaya menyelamatkan sembilan orang dari laut, termasuk seorang wanita, pada 9 April.

“Kapal pengangkut bendera Bangladesh MT Meghna Pride… ternampak beberapa orang terapung di laut menggunakan tong dan kayu balak dan menyelamatkan mereka di perairan berhampiran Kepulauan Andaman,” kata jurucakap BCG, Leftenan Komander Sabbir Alam Sujan, kepada agensi berita, AFP.

Salah seorang mangsa yang diselamatkan, Encik Rafiqul Islam, 40 tahun, berkata beliau menyertai pelayaran itu selepas termakan kata-kata penyeludup yang menjanjikannya pekerjaan di Malaysia.

Menurutnya, kapal itu belayar sekitar empat hari sebelum ia terbalik di tengah-tengah laut bergelora.

“Kami terapung selama hampir 36 jam sebelum sebuah kapal menyelamatkan kami dari laut yang dalam,” tambahnya.

Malaysia merupakan rumah kepada berjuta-juta pendatang dari negara Asia yang lebih miskin, kebanyakannya tidak berdokumen, bekerja secara haram dalam industri termasuk pembinaan dan pertanian.

Tetapi lintasan laut, yang didalangi sindiket pemerdagangan manusia, adalah berbahaya dan sering menyebabkan bot terlebih muatan terbalik.

UNHCR berkata kejadian terbaru itu mencerminkan “akibat buruk daripada perpindahan penduduk yang berlarutan dan ketiadaan penyelesaian yang berkekalan untuk Rohingya”.

Laut Andaman terbentang di sepanjang pantai barat Myanmar, Thailand dan Malaysia.

UNHCR berkata, 427 warga Rohingya dikhuatiri mati di laut dalam apabila dua kapal karam di luar pantai Myanmar pada Mei 2025. – AFP.