Topik diikuti
Pergi ke BHku3 cedera diserang lelaki bersenjata kapak ketika solat subuh di Jakarta
3 cedera diserang lelaki bersenjata kapak ketika solat subuh di Jakarta
JAKARTA: Tiga anggota jemaah cedera selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan kapak dan pisau belati ketika menunaikan solat subuh di sebuah masjid di Jakarta Timur, Indonesia, pada 8 November.
Serangan di Masjid Darul Ma’arif, Pondok Kelapa, Duren Sawit, sekitar 4.15 pagi itu mencetuskan kekecohan apabila suspek bertindak menyerang jemaah yang cuba memadamkan kebakaran di bahagian hadapan masjid.
Ketua Polis Jakarta Timur, Pesuruhjaya Kanan Alfian Nurrizal, berkata kejadian bermula apabila beberapa anggota jemaah yang sedang menunaikan solat subuh menyedari api marak di beranda masjid.
Beberapa anggota jemaah kemudian menghentikan solat untuk memadamkan kebakaran, sebelum seorang lelaki tiba-tiba menyerang mereka menggunakan dua senjata tajam.
“Beberapa anggota jemaah menghentikan solat untuk memadamkan api, tetapi mereka diserang seorang lelaki yang mengayunkan kapak dan pisau belati secara membabi buta,” katanya lapor laman web Kompas.id pada 9 November.
Menurut beliau, tiga anggota jemaah mengalami kecederaan serius pada beberapa bahagian badan akibat serangan tersebut.
Seorang mangsa mengalami luka pada bahagian kanan dada serta lebam, manakala seorang lagi cedera pada lutut dan kepala selain mengalami beberapa kesan tikaman.
Mangsa ketiga pula mengalami luka tikaman di bahagian kanan dada, selain kecederaan pada jari manis dan jari kelengkeng yang hampir putus.
Dua mangsa dibawa ke Hospital Islam Pondok Kopi, manakala seorang lagi menerima rawatan di Hospital Harum, kedua-duanya di Jakarta Timur.
Suspek yang hanya dikenali dengan huruf awal ‘F’ berjaya ditahan oleh jemaah dan penduduk setempat tidak lama selepas serangan.
Dia kemudian diserahkan kepada polis dan kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Jakarta Timur untuk siasatan lanjut.
Polis turut menemui beberapa barangan yang dipercayai dibawa suspek bagi melakukan serangan tersebut.
Antaranya termasuk sebilah kapak, pisau belati, dua tong gas petroleum cecair (LPG) seberat tiga kilogram setiap satu serta petrol yang dipercayai digunakan untuk memulakan kebakaran.
Semua barangan itu dirampas sebagai bahan bukti.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tersebar di media sosial menunjukkan suspek berjalan menuju ke masjid dengan memakai pakaian berwarna jingga di bawah jubah panjang serta selempang berwarna perang kekuningan.
Dia turut dilihat membawa sebuah beg pakaian besar berwarna biru gelap dan dua kotak kadbod.
Beg tersebut dipercayai mengandungi beberapa barangan yang digunakan dalam serangan, termasuk tong gas dan petrol.
“Kami sedang menyiasat sama ada serangan ini dirancang, termasuk kemungkinan terdapat motif ideologi atau kaitan dengan rangkaian tertentu,” kata Encik Alfian.
Jurucakap Polis Jakarta Timur, Penolong Pesuruhjaya I Made Budi, berkata suspek disiasat atas beberapa kesalahan, termasuk menyebabkan kecederaan serius, memiliki senjata tajam secara haram dan melakukan pembakaran.
Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 12 tahun.
Menurut beliau, siasatan awal menunjukkan suspek mungkin mengalami masalah kesihatan mental, namun pemeriksaan lanjut diperlukan bagi mengesahkan keadaan itu.
Suspek akan menjalani pemeriksaan di Hospital Polis Nasional di Kramat Jati.
Sementara itu, Timbalan Speaker Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR), Encik Hidayat Nur Wahid, mengecam serangan tersebut dan menggesa polis menjalankan siasatan menyeluruh.
Beliau berkata pihak berkuasa perlu menentukan sama ada individu lain turut terbabit dan memastikan suspek tidak terlepas daripada tindakan undang-undang semata-mata atas alasan masalah mental.
Ahli politik Parti Keadilan Sejahtera (PKS) itu turut menegaskan pemerintah bertanggungjawab menjamin keselamatan rakyat ketika menjalankan ibadah.
“Orang ramai tidak sepatutnya berasa takut untuk pergi ke masjid bagi menunaikan solat atau menyertai kegiatan keagamaan lain.
“Penguatkuasaan undang-undang mesti tegas bagi memberikan mesej jelas bahawa keganasan dan ancaman terhadap rumah ibadat tidak akan diterima,” katanya. – Agensi berita.