BANGKOK: Polis telah meminta supaya dikeluarkan waran tangkap ke atas tiga orang yang disyaki terlibat dalam pembunuhan seorang ahli perniagaan German berusia 62 tahun, pada Selasa.
Penangkapan itu adalah selepas polis menemui keratan mayat Encik Hans Peter Ralter Mack dalam peti sejuk di sebuah kediaman di Chokchai Garden Home 1 Village di Thailand pada dinihari Selasa.
Mereka yang ditangkap itu adalah dua warga German, Cik Petra Christl Grundgrief dan Encik Olaf Thorsten Brinkmann, dan seorang Pakistan warganegara Thailand, Encik Zahrouk Kareen Uddin.
Cik Grundgrief ditangkap di sebuah pangsapuri di Selatan Pattaya, sementara Encik Brinkmann ditangkap di Bangkok, dan dibawa ke Balai Polis Nongprue, di Chonburi.
Seorang lagi warga German yang disyaki, dikenal pasti sebagai Enrico telah ditangkap kerana menjalankan kegiatan jenayah akaun untuk menerima pemindahan wang tunai daripada mangsa.
Seorang lagi suspek dalam kes itu ialah seorang wanita German yang cacat, Cik Nicole Frevel, yang menyewa kediaman di mana keratan mayat ahli perniagaan itu ditemui.
Wanita itu dibawa dari sebuah restoran berdekatan pangsapuri di mana kereta milik Encik Mark ditemui, dan dia dibawa ke Hospital Lamung, untuk dirawat kerana mencederakan dirinya sendiri dengan mengelar pergelangan tangannya.
Cik Frevel memberitahu polis, Encik Brinkmann membawa peti sejuk ke kediamannya dan mengancamnya apabila ditanya apa yang ada dalam peti sejuk itu.
Timbalan ketua polis, Mejar-Jeneral Surachate Hakparn, berkata Encik Zahrouk masih lagi diburu, dan menambah bahawa suspek itu adalah sebahagian anggota jaringan jenayah transnasional, terlibat dengan dadah yang menjadikan Thailand sebagai pusat kegiatannya.
Diketahui bahawa kumpulan itu membuat persiapan selama sebulan, untuk merompak Encik Mark tiga juta bhat (S$115,000).
Wang rompakan itu dipindahkan ke 10 akaun jenayah dan polis akan mengeluarkan waran tangkap ke atas lebih ramai pengendali akaun jenayah yang dipercayai masih lagi berada di Thailand.
Maj-Jen Surachate juga berikrar akan mengarahkan polis imigresen menangani semua jaringan jenayah transnasional di Pattaya dan daerah Nong Pruea, bagi mencegah lebih banyak kegiatan penculikan. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg