Topik diikuti
Pergi ke BHku3 kes pertama varian Mu Covid-19 tiba di Korea Selatan
3 kes pertama varian Mu Covid-19 tiba di Korea Selatan
HONG KONG: Penguasa kesihatan dari tiga negara - Hong Kong, Jepun dan Korea Selatan mengesan varian Mu Covid-19 pada beberapa individu.
Di Hong Kong, tiga disahkan dikesan dengan varian baru setelah dua daripada mereka tiba dari Colombia manakala seorang lagi tiba dari Amerika Syarikat.
Kes-kes tersebut dikesan pada Jun dan Julai lalu.
Varian baru koronavirus itu bagaimanapun tidak menular dalam kalangan masyarakat.
Jepun mengesahkan kes pertama varian koronavirus dikenali Mu daripada dua individu yang tiba dari luar negara melalui pemeriksaan di lapangan terbang, semalam.
Kementerian Kesihatannya mengumumkan, varian Mu itu dikesan pada seorang wanita berusia 40-an yang tiba pada 26 Jun lalu dari Amirah Arab Bersatu (UAE).
Satu lagi kes dikesan membabitkan seorang wanita berusia 50-an yang tiba pada 5 Julai dari United Kingdom (UK).
Kedua-dua wanita itu tidak menunjukkan gejala ketika tiba di lapangan terbang.
Semua pelancong ke Jepun diminta mengambil ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) Covid-19 PCR ketika ketibaan dan perlu menunggu keputusan sebelum diberi pelepasan masuk.
Sehingga kini, varian Alpha, Beta, Delta, Gamma, Kappa, Lambda dan Mu sudah dikesan di Jepun.
Korea Selatan pula dilaporkan catat kes pertama membabitkan varian Mu dalam tiga sampel pesakitnya, lapor agensi berita Yonhap.
Varian Mu yang dikenal pasti berasal dari Colombia disahkan dijumpai dalam tiga sampel kes import termasuk dari Mexico, Amerika Syarikat dan Colombia, menurut Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA) tanpa memberi maklumat lanjut.
KDCA memaklumkan pihaknya akan terus memantau varian itu.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan varian Mu sebagai Varian Perlu Perhatian (VOI) - iaitu yang kelima dipantau sejauh ini.
Ketika ini, masih tidak jelas sama ada vaksin Covid-19 menyediakan perlindungan sepenuhnya terhadap mutasi koronavirus itu.
Masih belum jelas bagaimana varian Mu disebarkan atau adakah ia lali terhadap vaksin.
Kes jangkitan pertama melibatkan varian Mu dikesan di Colombia pada Januari lalu.
Ia sudah merebak ke lebih 43 lokasi.
Menurut pakar, sekitar 4,500 orang di merata dunia dijangkiti varian tersebut.
Di kebanyakan negara, mereka yang disahkan positif varian Mu, perlu dikuarantin di tempat yang ditentukan atau dimasukkan ke hospital bergantung pada gejala mereka.
Biarpun negatif, mereka harus dikuarantin selama 14 hari di rumah atau tempat yang ditentukan.
Kementerian memaklumkan akan terus mengambil langkah untuk mencegah penyebaran varian dengan memantau situasi di negara lain dengan teliti. - Agensi berita.