LOS ANGELES: Seorang lelaki bersenjata berusia 18 tahun membunuh tiga orang dan mencederakan beberapa yang lain, termasuk dua pegawai polis, semasa kejadian tembakan di New Mexico pada Isnin, kata penguatkuasa undang-undang tempatan.
Pegawai yang menjawab beberapa panggilan kecemasan mendapati "adegan huru-hara di mana seorang lelaki secara aktif menembak individu", kata timbalan ketua polis tempatan, Encik Baric Crum, semasa sidang akhbar.
Empat pegawai berhadapan dengan lelaki itu dan "dapat menghentikan tindakannya", kata Encik Crum.
"Suspek sudah meninggal dunia, tetapi sebelum itu, kita tahu tiga orang awam terbunuh akibat perbuatan individu ini," tambahnya.
Tembakan itu berlaku di Farmington, sebuah bandar dengan 50,000 penduduk, yang terletak kira-kira 320 kilometer dari ibu negeri Santa Fe dan berhampiran dengan masyarakat penduduk asli (Native American) merangkumi puak Navajo dan Ute.
Sembilan orang cedera, tambah Encik Crum.
Butiran lanjut mengenai tempat dan cara tembakan itu berlaku tidak akan diberikan serta-merta.
Siasatan berhubung kejadian itu sedang dijalankan.
Kedua-dua anggota polis yang ditembak ketika kejadian tersebut sedang dirawat di hospital dan berada dalam keadaan stabil.
Sekolah tempatan dikenakan sekatan pergerakan sebagai langkah pencegahan, tetapi dibenarkan untuk dibuka semula pada awal petang Isnin, dengan Sekolah Perbandaran Farmington menyatakan bahawa "semua pelajar dan kakitangan dilaporkan selamat".
Sekurang-kurangnya 225 tembakan besar-besaran berlaku di Amerika Syarikat sejak awal 2023, menurut badan bukan pemerintah, Gun Violence Archive. - AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg