SELAMA 30 tahun, beliau memainkan pelbagai peranan berbeza semasa berkhidmat dengan Berita Harian Malaysia, termasuk membuat liputan tentang berita mahkamah dan politik secara meluas.
Selepas bersara pada 2017, Encik Khirul Bahri Basaruddin, 62 tahun, kini mengisi ruangan luar negara Berita Harian Singapura dengan perkembangan terkini dari seberang Tambak.
Dan beliau khususnya berharap dapat terus menyumbang perspektif yang menyeluruh tentang berita dan perkembangan dari Malaysia bagi pembaca Singapura.
"Pada saya, apa yang dipaparkan oleh Berita Harian mengenai Malaysia kepada pembacanya agak menyeluruh terutama isu semasa.
"Tabiat pembaca kini sudah berubah, dengan mereka lebih suka membaca berita ringkas di media sosial berbanding dalam bentuk cetak, dengan banyak grafik atau berita ringkas boleh didapatkan di wadah Instagram, Twitter dan Facebook," ujar beliau.
Namun, beliau berharap pembaca dapat meraih manfaat daripada penulisannya yang disampaikan daripada lensanya sebagai warga Malaysia, khususnya dengan kepakarannya menghasilkan laporan berita dari mahkamah dan dari segi undang-undang.
"Saya mahir dalam penulisan berita mahkamah dan undang-undang dan menerusi penulisan saya, saya harap sedikit sebanyak pembaca dapat didedahkan dengan maklumat baru terutama selok-belok perbicaraan atau rayuan yang dijalankan di Malaysia. Saya juga berharap pembaca dapat memperolehi manfaat daripada penulisan saya mengenai pelbagai isu di Malaysia, yang dihasilkan dengan lensa seorang individu yang tidak menetap di Singapura." - Encik Khirul Bahri Basaruddin.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg