PETALING JAYA: Analisis pasukan data saintis diwujudkan Pakatan Harapan (PH) mendapati kira-kira 31 peratus daripada lebih 5.8 juta undi diterima gabungan itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah daripada orang Melayu.

Analisis sama juga menunjukkan gabungan undi diperoleh semua parti dalam Kerajaan Perpaduan menyamai dua pertiga daripada lebih 15 juta undi direkodkan dalam PRU15. Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, dapatan itu secara langsung menafikan tuduhan mengatakan gabungan itu ditolak masyarakat Melayu, selain dakwaan mengatakan PH hanya mendapat 19 peratus undi Melayu, lapor Berita Harian Malaysia pada Isnin.

"Bila kita buat satu pasukan data saintis yang membuat analisis, kita dapat lihat dalam data awal bahawa sebenarnya tidak benar (dakwaan) yang diuar-uarkan kononnya PH mendapat 19 peratus dokongan Melayu.

"Kalau 19 peratus sokongan Melayu, tidak mungkin kita dapat mencatat jumlah kerusi seperti mana yang dicatat dalam PRU15.

"Secara keseluruhannya, undi diperoleh PH ialah 31 peratus pengundi Melayu. Ada yang rendah seperti di Kelantan dan Terengganu, namun ada yang mencecah lebih 50 peratus dengan tertinggi di Wilayah Persekutuan, diikuti Selangor, Pulau Pinang, Penang, dan Negeri Sembilan," katanya.