KUNDUZ: Seramai 33 orang, termasuk kanak-kanak, terbunuh dalam satu letupan di sebuah masjid ketika solat Jumaat di timur Afghanistan, sehari selepas kumpulan Daesh mengaku bertanggungjawab terhadap dua serangan berasingan yang meragut nyawa.
Sejak Taliban menguasai Afghanistan selepas menggulingkan pemerintah yang mendapat sokongan Amerika Syarikat tahun lalu, jumlah insiden pengeboman berkurangan, namun pejuang dan Daesh meneruskan serangan terhadap sasaran yang dilihat mereka sebagai ajaran sesat.
Siri pengeboman menggegarkan negara itu minggu ini, dengan serangan maut menyasarkan sebuah sekolah dan masjid di kawasan kejiranan Syiah.
Jurucakap pemerintah Taliban, Encik Zabihullah Mujahid, melalui ciapannya berkata kanak-kanak antara 33 orang yang maut dalam letupan kelmarin di sebuah masjid di wilayah utara Kunduz.
"Kami mengutuk jenayah ini dan merakam rasa simpati mendalam kepada mereka yang berduka," ujarnya sambil berkata 43 orang cedera.
Seorang pegawai perisikan yang enggan namanya disiar berkata ia letupan itu disebabkan bom, namun tidak dapat dipastikan bagaimana ia diletupkan.
Seorang wartawan AFP melihat lubang besar akibat kesan letupan itu pada tembok Masjid Mawlavi Sikandar itu, yang terkenal dengan ahli sufi di daerah Imam Sahib, utara bandar Kunduz.
Satu bahagian masjid itu musnah sama sekali akibat letupan tersebut.
"Pemandangan di masjid itu sungguh mengerikan. Semua yang beribadat di dalam masjid itu cedera atau terbunuh," kata seorang pekedai, Encik Mohammad Esah, yang membantu mengangkat mangsa untuk dibawa ke hospital daerah kepada AFP.
"Saya melihat 20 hingga 30 mayat," kata seorang lagi penduduk tempatan. - AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg