VILNIUS (Lithuania): Sebuah kumpulan yang dianggotai 35 negara termasuk Amerika Syarikat, Jerman, Perancis, Britain dan Jepun sebulat suara menuntut atlet Russia serta Belarus dilarang menyertai temasya Sukan Olimpik 2024.
Perkara itu ditegaskan Menteri Sukan Lithuania, Cik Jurgita Siugzdiniene.
Perang yang membelenggu Ukraine, negara-negara Baltik termasuk di Nordik serta Poland, mendorong badan sukan antarabangsa untuk 'mengharamkan' atlet Russia dan Belarus bersaing dalam temasya berkenaan.
Ukraine dilapor mengugut untuk memboikot temasya itu sekiranya atlet Russia dan Belarus tetap mahu menyertai Sukan Olimpik.
Seorang petinju Ukraine, Oleksandr Usyk, menyuarakan pandangannya bahawa Russia seperti memenangi "pingat berdarah, kematian dan air mata" jika negara itu dibenarkan menyertai temasya antarabangsa itu.
"Kita menuju ke arah yang pihak kita tidak perlu memboikot kerana semua negara sebulat suara," kata Cik Siugzdiniene.
Terdahulu, jurucakap Kementerian Sukan Lithuania memaklumkan Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, menyertai mesyuarat secara maya yang turut dihadiri 35 menteri lain, bagi membincangkan isu larangan itu.
Menurut jurucakap itu, mesej disampaikan Encik Zelensky kepada peserta berkisar prinsip berkecuali tidak boleh digunakan dalam isu pencerobohan Russia ke atas Ukraine.
Sementara itu, Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Encik Thomas Bach, memohon supaya Ukraine tidak meneruskan keputusan untuk memboikot.
IOC membuka ruang dan peluang kepada atlet Russia dan Belarus untuk bersaing secara neutral sambil menegaskan tindakan boikot akan melanggar Piagam Olimpik.
Jelas IOC, kemasukan atlet kedua negara berkenaan berdasarkan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menentang diskriminasi dalam gerakan Olimpik. - Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg