36 maut dalam kebakaran kilang di China
BEIJING: Kebakaran di sebuah kilang di bandar Anyang, di wilayah Henan, China, telah meragut nyawa 36 orang, dengan dua yang lain cedera, lapor media pemerintah, semalam.
Kebakaran ini berlaku di kilang syarikat Kaixinda Trading di daerah Wenfeng - sebuah zon perusahaan teknologi tinggi - di Anyang, menurut laporan itu lagi.
Kejadian pada tengah hari kelmarin itu berjaya dikawal oleh sepasukan 63 anggota bomba, sekitar 8 malam dan berjaya dipadam sekitar 11 malam.
Sehingga pagi semalam, 36 orang dilaporkan mati dan dua yang lain dikejarkan ke hospital untuk rawatan kebakaran ringan.
Lagi dua orang dilaporkan hilang, menurut laporan itu lagi.
Beberapa orang pakar psikologi berada di tempat kejadian untuk menangani kaum keluarga mangsa, kata satu kenyataan pemerintah pula.
Para pegawai penguasa tempatan berkata jabatan keselamatan awam telah "menguasai beberapa penjenayah berkaitan" yang disyaki, tetapi tidak memberikan butiran lanjut.
Kaixinda adalah sebuah firma swasta yang kecil.
Kemalangan perusahaan sering berlaku di China, biasanya disebabkan kecuaian mematuhi peraturan-peraturan keselamatan.
Pada Mac 2019, satu letupan berlaku di kilang kimia di Yancheng, terletak 260 kilometer dari Shanghai.
Kejadian itu meragut 78 nyawa dan memusnahkan rumah-rumah yang terletak beberapa kilometer berdekatan.
Pada 2015 pula, satu letupan besar berlaku di utara Tianjin, di sebuah gudang simpanan kimia, mengakibatkan 165 orang mati.
Kejadian itu disifatkan sebagai kemalangan perusahaan yang paling buruk berlaku di China. - Agensi berita.

