Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

37 pelajar maut: Pemberontak balas dendam, serang sekolah di Uganda

.
Jul 02, 2023 | 05:30 AM



“Saya lumurkan darah dari tubuh rakan saya yang terbunuh, pada mulut saya, telinga dan kepala supaya penyerang itu menyangka saya sudah mati,” kata Julius Isingoma ketika ditemui di Hospital Umum Bwera, di daerah Kasese.

Kira-kira 40 orang – 37 daripadanya adalah pelajar – mati dalam serangan ke atas sekolah menengah di bandar kecil di Mpondwe pada Jumaat malam, 16 Jun 2023.

Presiden Uganda, Encik Yoweri Museveni, menuduh serangan itu dilakukan oleh Pasukan Demokratik Bersekutu (ADF). Mereka mungkin “bekerjasama dengan penjenayah lain kerana saya dengar sekolah ini ada sedikit masalah,” kata beliau kepada Perbadanan Penyiaran British (BBC).


Beliau tidak menjelaskan apa masalahnya tetapi berjanji akan mencari anggota militan di tempat persembunyian mereka, di perbatasan Republik Demokratik Congo.

Pihak ADF belum membuat sebarang ulasan tentang kejadian itu.

ADF ditubuhkan pada 1990-an dan mengangkat senjata menentang Encik Museveni, yang dituduhnya membunuh penduduk Islam minoriti.

Pemimpin ADF dilaporkan berikrar setia kepada kumpulan Negeri Islam (IS) pada 2016. Tetapi hanya sehingga April 2019 barulah IS akui tentang kegiatannya di kawasan tersebut, apabila ia mendakwa melakukan serangan ke atas kedudukan tentera berhampiran perbatasan Uganda.

Kenyataan itu menandakan permulaan wujudnya IS di Wilayah Afrika Tengah. Enam orang pelajar dipercayai telah diculik apabila kumpulan militan itu berundur ke Congo.

Dalam kejadian serangan pada Jumaat itu, Julius adalah di antara enam orang yang terselamat. Dia tidak dapat mengenali penyerangnya, tetapi mengatakan mereka bersenjata dan melakukan serangan sekitar 10 malam.

Mereka datang ke asrama itu tetapi para pelajar segera mengunci pintu apabila menyedari mereka dalam bahaya.

“Oleh kerana tidak dapat membuka pintu, mereka melontar bom ke dalam asrama dan dengan menggunakan tukul besi dan kapak, mereka memecahkan pintu asrama itu,” cerita Julius kepada BBC.


Julius berdiri di belakang beberapa pelajar yang tercegat di hadapan pintu. Mereka ditembak mati apabila anggota militan itu dapat masuk ke asrama.

Kedengaran suara jeritan dan tangisan apabila tembakan mula dilepaskan. Ada yang ditetak dengan kapak hingga mati.

Julius segera memanjat naik ke bahagian atas katil bertingkat dan bersembunyi sambil menyaksikan rakan-rakannya diperlakukan dengan kejam. Anggota militan itu kemudian membakar tilam dan langsung meninggalkan asrama itu.

“Saya lemas dengan asap tebal dan terjatuh dari bahagian atas katil bertingkat itu,” katanya. Pemberontak itu terdengar dan masuk semula ke dalam asrama. Ketika itulah Julius sedar bahawa dia harus melakukan sesuatu untuk menyelamatkan nyawanya.

“Saya berbaring disamping mayat teman-teman saya sambil mencari akal. Ketika itulah saya melumurkan darah ke bahagian mulut, telinga dan kepala saya. Apabila anggota militan itu mendekati saya, dia memegang tangan saya, kemudian melepaskannya lalu pergi,” jelas Julius.

Seorang lagi pelajar yang terselamat, Godwin Mumbere, berada dalam asrama itu bersama Julius.

Pelajar berusia 18 tahun itu menceritakan, pelaku serangan itu menuju ke asrama pelajar perempuan, mengheret mereka keluar dan menetak mereka dengan parang.

Kemudian mereka masuk semula ke asrama pelajar lelaki, memecahkan pintu yang terkunci dan mula menyerang para pelajar di situ.

Katil tempat pelajar Godwin bersembunyi diterbalikkan, dan rakan-rakannya yang berada di bahagian atas katil bertingkat itu terjatuh ke lantai dan mereka dibunuh.

“Penyerang itu memandang ke arah saya, tetapi mereka fikir saya sudah mati,” kata Julius lagi kepada BBC.


Mereka keluar dan seketika kemudian masuk kembali ke asrama untuk memastikan semua orang sudah mati. Ketika itulah salah seorang daripada mereka menembak saya di bahagian lengan dan kemudian membakar asrama itu.

Godwin terkejut apabila terdengar jeritan seorang lagi pelajar yang mengatakan mereka akan mati. Dia bergegas keluar dari asrama, memanjat pagar sekolah dan berlari ke arah setor peralatan, melewati sebuah ladang koko. Dia dapat sampai ke sebuah pondok dan bersembunyi di bawah sebuah kenderaan hinggalah dia diselamatkan.

Encik Clarice Bwambare, seorang pegawai kanan pentadbiran Hospital Umum Bwera, memberitahu BBC mereka mula menerima beberapa mayat pelajar dan penduduk sekitar satu dinihari – sekitar tiga jam selepas serangan yang berlaku pada Jumaat malam itu.


Beliau mendapati, daripada 20 mayat yang dibawa ke hospital itu, 18 adalah para pelajar sekolah tersebut.

Lima daripada yang terselamat kini beransur sembuh. Salah seorang daripadanya ialah gadis yang kini dalam keadan kritikal dan dirawat di unit rawatan intensif.

Seorang pakar bedah di hospital itu menasihatkan, gadis itu tidak boleh digerakkan kerana mengalami luka parah di bahagian kepala akibat dibelasah dengan tukul oleh anggota kumpulan pemberontak itu.

Encik Bwambare berkata hanya satu mayat sahaja yang belum diambil dari rumah mayat hospital itu.

Pada Ahad 18 Jun, anggota keluarga mangsa berkenaan mengebumikan 21 mayat pelajar, menurut laporan akhbar Uganda, New Vision.


Masih terlantar di katil hospital itu, Julius menzahirkan rasa kesalnya kerana tidak dapat hadir semasa pengebumian rakan-rakannya.

Dia berkata, betapa baiknya kalau dia seorang askar, dapat melawan dan menyelamatkan nyawa rakan-rakannya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >