NEW YORK: Kira-kira 12 individu Malaysia termasuk empat ahli politik negara itu merupakan di antara puluhan ketua negara, kerajaan dan pemerintah dari serata dunia yang didapati menggunakan tempat perlindungan cukai luar pesisir untuk menyembunyikan aset bernilai ratusan juta dolar, menurut siasatan yang dilakukan oleh Konsortium Antarabangsa bagi Wartawan Penyiasatan, ICIJ.
Siasatan dipanggil 'Pandora Papers' atau 'Kertas Pandora' itu - membabitkan kira-kira 600 wartawan termasuk The Washington Post, BBC dan The Guardian - berdasarkan pembocoran 11.9 juta dokumen sulit daripada 14 syarikat khidmat kewangan di seluruh dunia.
Sekitar 35 pemimpin sedia ada dan bekas pemimpin yang dinyatakan dalam dokumen terkini yang dianalisis oleh ICIJ berdepan tuduhan termasuk rasuah, pengubahan wang haram dan mengelak cukai global.
Antara pemimpin Malaysia yang dikenalpasti ialah Menteri Kewangan Tengku Zafrul Zainal Abidin; Timbalan Menteri Kewangan Yamani Hafez Musa; Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi; mantan Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin; dan pengerusi eksekutif Westports G Gnanalingam.
Mengulas dirinya dikaitkan dengan 'Kertas Pandora' itu, Tun Daim berkata sebahagian pemegang amanah yang disebut dalam laporan tersebut adalah milik anak-anaknya sementara yang lain berkaitan dengan sebuah bank Swiss miliknya, ICB Banking Group, yang telah dinyah senarai selepas dia tidak lagi mahu menghadiri mesyuarat di luar negara.
Katanya lagi, dia sentiasa membayar cukai bagi semua pelaburan dan hartanah dan menjadi ahli perniagaan yang "berjaya dan kaya" atas usaha sendiri.
"Saya sudah terlibat dalam perniagaan sejak 1960-an. Sudah lebih 60 tahun, separuh abad sejak itu.
"Saya fikir sedikit pengiktirafan perlu diberikan kepada seorang warga Malaysia yang berjaya membawa nama negara dalam perniagaan di sini dan seluruh dunia," katanya lagi yang ditukil laman Malaysiakini kelmarin.
Tengku Datuk Seri Zafrul pula berkata beliau telah melepaskan kesemua pelantikan sebagai eksekutif dan pengarah dalam Kumpulan Kenanga Holdings Bhd pada Jun 2010 setelah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Maybank Investment Bank Bhd.
Beliau "telah merujuk perkara berkenaan kepada peguamnya untuk mendapatkan nasihat lanjut dan tindakan susulan yang sewajarnya".
ICIJ menekankan, di kebanyakan negara, ia bukan kesalahan untuk menyimpan aset di luar pesisir atau menggunakan syarikat tersedia untuk melakukan urus niaga rentas sempadan.
Namun, pendedahan seperti ini tidak kurang memalukan bagi pemimpin yang mungkin pernah berkempen secara terbuka untuk menentang perbuatan mengelak cukai dan rasuah, atau memperjuangkan langkah berjimat cermat.
'Pandora Papers' adalah dokumen terbaru dalam siri pembocoran besar-besaran dokumen kewangan ICIJ, dari LuxLeaks pada 2014, hingga Kertas Panama 2016 - yang mencetuskan peletakan jawatan perdana menteri Iceland dan membuka jalan bagi pemimpin Pakistan untuk disingkirkan. - Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg