Topik diikuti
Pergi ke BHkuHONG KONG: Sekurang-kurangnya empat orang cedera dan dua daripadanya parah, ketika kejadian tembakan di sebuah taman di sini, hari ini, kejadian serangan bersenjata yang jarang berlaku di bandar raya yang terkenal selamat.
Polis berkata, seorang wanita berusia 44 tahun melepaskan tembakan ke arah empat orang di taman harbourfront di kawasan kejiranan keluarga berpendapatan sederhana di timur wilayah pulau itu.
Rakaman televisyen tempatan menunjukkan seorang lelaki yang cedera duduk di atas tanah dengan lengan berdarah dibawa menaiki ambulans.
Menurut pihak berkuasa, dua lagi mangsa ditembak di kepala dan berada dalam keadaan kritikal, manakala dua lagi mangsa ditembak di tangan. Mereka berumur antara 50 hingga 72 tahun.
Susulan kejadian itu seorang wanita ditahan di sebuah pusat membeli-belah berhampiran.
"Kami yakin wanita itu adalah penyerang dan kami merampas senjata api yang berada dalam simpanannya," kata Ketua Inspektor, Hui Hong Kit kepada wartawan.
Hui berkata, siasatan awal mendapati serangan berpunca daripada 'konflik keluarga' dan tidak mempunyai kaitan dengan jenayah terancang. - AFP