BOGOTÁ (Colombia): Empat kanak-kanak orang asli termasuk bayi berusia 11 bulan yang hilang selama lebih dua minggu selepas nahas pesawat di Amazon Colombia, ditemui selamat.
Selain bayi itu, tiga lain yang ditemui selamat ialah kanak-kanak yang berusia antara empat hingga 13 tahun.
Semua kanak-kanak itu berada dalam pesawat dalam perjalanan ke San Jose del Guaviare, iaitu salah satu bandar utama di hutan hujan Amazon Colombia.
Pesawat itu bagaimanapun terhempas di Amazon, sekali gus membunuh tiga penumpang lain dalam tragedi pada 1 Mei.
Presiden Colombia, Encik Gustavo Petro, berkata penemuan itu diisytiharkan sebagai suatu kegembiraan buat negara.
Melalui perkongsiannya di Twitter, Petro menyatakan kanak-kanak itu ditemui selepas pihak tentera menjalankan usaha pencarian yang sukar.
Dalam operasi pencarian itu, pihak berkuasa mengerahkan lebih 100 askar dengan anjing pengesan untuk mencari semua mangsa selepas mereka tidak dapat dikesan.
Malah, pencarian melalui 'Operasi Harapan' itu turut berdepan cabaran lebih sukar dengan adanya binatang liar dan pokok hutan setinggi 40 meter.
Bagi tujuan operasi, tiga helikopter digunakan untuk membantu, salah satu daripadanya mengeluarkan mesej yang dirakam daripada nenek mangsa yang meminta mereka supaya kekal di satu tempat, dalam bahasa Huitoto.
Menurut angkatan tentera, usaha mencari dipergiat selepas penyelamat menemui tempat perlindungan yang dibuat daripada kayu dan dahan, sekali gus meyakinkan mereka bahawa masih ada mangsa terselamat.
Melalui foto yang dikongsi angkatan tentera, beberapa peralatan seperti gunting dan getah rambut turut ditemui di laluan dalam hutan itu. Sebelum ini, botol minuman bayi dan sisa buah turut ditemui.
Mayat juruterbang dan dua lagi penumpang ditemui tentera pada Isnin dan Selasa.
Salah seorang penumpang yang maut, Cik Ranoque Mucutuy, adalah ibu kepada semua kanak-kanak itu, berasal dari etnik Huitoto.
Sehingga kini, pihak berkuasa belum menyatakan punca nahas pesawat itu. Namun, menurut agensi tindak balas Colombia, juruterbang dikesan melaporkan masalah enjin hanya beberapa minit sebelum pesawat itu hilang daripada radar. - Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg