KAHIRAH: Dua kereta api bertembung di selatan ibu negara Mesir pada 8 November, menyebabkan beberapa gerabak tergelincir daripada landasan, mengorbankan empat nyawa dan mencederakan puluhan yang lain, menurut pihak berkuasa.

Pihak Berkuasa Kereta Api Mesir berkata sebuah kereta api yang dalam perjalanan dari Giza ke Fayoum merempuh bahagian belakang sebuah lagi kereta api yang menuju ke selatan dari Kahirah ke bandar Aswan.

Kementerian Kesihatan Mesir berkata angka awal menunjukkan empat penumpang maut dalam nahas itu, manakala 88 lagi sedang menerima rawatan akibat kecederaan di beberapa hospital sekitar kawasan Giza.

Media milik pemerintah sebelum ini melaporkan seramai 120 orang cedera, namun tidak memberikan butiran mengenai tahap kecederaan mereka.

Presiden Mesir, Encik Abdel Fattah al-Sisi, berkata beliau mengikuti perkembangan nahas itu dengan “penuh kebimbangan” dan telah mengarahkan pihak berkuasa menjalankan siasatan segera bagi “memastikan sesiapa yang didapati cuai dipertanggungjawabkan”.

Menurut pihak berkuasa kereta api, pasukan kecemasan menggunakan kren untuk mengalihkan bangkai gerabak yang rosak akibat perlanggaran itu.

Pihak berkuasa turut memaklumkan bahawa siasatan telah dimulakan bagi mengenal pasti punca nahas yang berlaku di kawasan Al-Ayyat, Giza, lokasi tragedi kereta api paling buruk dalam sejarah Mesir.

Pada 2002, lebih 370 orang terkorban apabila kebakaran merebak dalam sebuah kereta api yang membawa penumpang yang sedang dalam perjalanan sempena musim cuti ke selatan Kahirah.

Pada 2009 pula, beberapa nahas kereta api di kawasan sama mengorbankan puluhan nyawa.

Mesir, yang mempunyai sekitar 110 juta penduduk, amat bergantung pada pengangkutan kereta api.

Namun, rangkaian kereta apinya, antara yang terbesar di Afrika, sering dilanda nahas maut.

Sepanjang sedekad lalu, Mesir telah membelanjakan berbilion dolar bagi menaik taraf prasarana pengangkutannya, termasuk membina lebuh raya baharu dan laluan kereta api berkelajuan tinggi.

Bagaimanapun, sebahagian besar rangkaian kereta api negara itu yang semakin usang masih belum menjalani kerja naik taraf secara menyeluruh. – AFP.