Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

4 maut, rumah perlindungan veteran tentera diserang

Mar 10, 2018 | 3:28 PM
FOTO: AFP
FOTO: AFP -

YOUNTVILLE: Tiga tebusan wanita dan seorang penyerang terbunuh selepas polis mengepung sebuah pusat perlindungan veteran tentera di California yang ditawan suspek bersenjata, kata pihak berkuasa.

Terdahulu, Senator Bill Dodd memberitahu media, lelaki bersenjata itu adalah penghuni Pathway Home, sebuah program untuk veteran yang mengalami gangguan tekanan pasca trauma atau PTSD.

Tebusan yang terbunuh dipercayai adalah kakitangan di kemudahan itu.

Insiden kepungan itu berlaku kurang sebulan selepas seorang bekas pelajar bersenjatakan senapang membunuh 17 orang di sebuah sekolah menengah di Florida.

Veterans Home of California, di Yountville yang menempatkan kira-kira 1,000 veteran tentera warga emas dan kurang upaya adalah kemudahan terbesar seumpamanya di Amerika Syarikat.

Pathway Home terletak di bangunan berasingan dalam kawasan yang sama.

Menurut sumber, penyerang bersenjatakan raifal itu masuk ke bangunan Pathway Home ketika penghuni lain sedang mengadakan jamuan perpisahan untuk seorang kakitangannya. - Reuters

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg