CRANS MONTANA (Switzerland): Sekurang-kurangnya 40 dipercayai maut, manakala 100 lagi cedera dalam kebakaran besar di sebuah bar di resort ski mewah Crans Montana di Switzerland pada malam tahun baru.
Anggaran jumlah korban tersebut dilaporkan Kementerian Luar Italy dalam satu kenyataan berdasarkan maklumat polis Switzerland.
Identiti mangsa tidak dapat dikenal pasti serta-merta akibat kesan lecur yang teruk, tambahnya.
Lebih 100 orang berada di bar Le Constellation, sebuah destinasi popular di kalangan pelancong, ketika kebakaran itu berlaku, lapor media Switzerland, Blick, memetik kenyataan polis.
Memberikan perincian kejadian, pihak polis berkata asap dikesan di bar berkenaan sekitar 1.30 pagi waktu tempatan.
Pemerintah dan pasukan kecemasan bertindak balas dengan segera, dengan polis, anggota bomba, dan pasukan perubatan bekerja pantas untuk membantu mangsa dan mengawal keadaan, tambah polis.
Dalam sidang media pada 1 Januari, Presiden Majlis Negeri, Encik Mathias Reynard, mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terjejas.
Beliau turut memuji solidariti dan profesionalisme pasukan kecemasan dan pegawai hospital.
“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga yang berduka dan terkesan akibat peristiwa ini.
“Malam ini sepatutnya menjadi saat perayaan, namun ia bertukar menjadi mimpi ngeri,” katanya, sambil menyuarakan sokongan pemerintah kepada semua yang terjejas.
Ketua pendakwa raya wilayah Valais, Cik Beatrice Pilloud, berkata bukti awal menunjukkan bahawa “kebakaran telah berlaku, dan bukannya sebarang serangan yang disengajakan”.
Cik Pilloud berkata usaha mengenal pasti mangsa dan mengembalikan jenazah kepada keluarga sedang dijalankan secepat mungkin.
“Untuk melakukan demikian, terdapat kerja-kerja penting yang perlu dijalankan.
“Dan kerja-kerja penting ini memerlukan daerah tersebut ditutup,” katanya.
Kawasan tersebut telah ditutup sepenuhnya dan zon larangan terbang telah dikuatkuasakan di Crans Montana, kata polis, sambil menambah punca kebakaran masih belum jelas.
Siasatan kini diteruskan, dipimpin majistret tempatan dan diperkukuh dengan bantuan institut forensik.
Operasi menyelamat melibatkan kerahan 10 helikopter, 40 ambulans, dan lebih 150 pakar perubatan dilaksanakan.
Sebahagian besar mangsa yang cedera telah dikejarkan ke Hospital Valais, yang dengan cepat mengaktifkan pelan tindak balas bencananya.
Pesakit yang memerlukan rawatan kritikal juga telah dipindahkan ke hospital universiti di seluruh Switzerland.
Pihak berkuasa berkata pengaturan antarabangsa juga sedang disediakan, memandangkan Crans Montana merupakan destinasi popular untuk orang ramai dari pelbagai negara. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg