51 peratus pengundi sokong luaskan kuasa Presiden Turkey

ISTANBUL (Turkey): Presiden Recep Tayyip Erdogan meraih kemenangan tipis dalam pungutan suara bagi meluaskan kuasa Presiden yang disandangnya - sekaligus membolehkan beliau untuk terus kekal mengekalkan jawatan tersebut sehingga 2029.

Setelah 99.45 peratus undi dikira sejauh ini, golongan yang menyokong dengan mengundi "Ya" mencatat 51.37 peratus sementara yang menolak dengan mengundi "Tidak" mendapat 48.63 peratus undi.

Lebih 55.3 juta rakyat Turkey telah keluar mengundi dengan lebih daripada 1.3 juta pengundi negara itu mengundi di luar negara.

Penyokong Presiden Erdogan berkata, menggantikan sistem berparlimen dengan kuasa eksekutif presiden akan memodenkan negara itu.

Dua parti pembangkang utama Turkey berkata mereka akan mencabar keputusan tersebut.

Parti Rakyat Republikan (CHP) menuntut diadakan pengiraan semula bagi 60 peratus undi.

Mereka mengkritik keputusan yang membenarkan kertas undi yang tidak dicap, yang dianggapnya sebagai kertas undi tidak sah selagi ia tidak diperakukan.

Sedang penyokong Erdogan meraikan kemenangan dengan menerusi perhimpunan di kota-kota besar, golongan yang menentang pungutan suara itu pula menggunakan periuk dan senduk sebagai alat 'muzik' sebagai tanda membantah.

Tiga orang telah ditembak mati berdekatan satu pusat mengundi di wilayah Diyarbakir, tenggara Turkey, semasa berlaku pertikaian tentang cara mereka mengundi.

Suruhanjaya Eropah dalam kenyataannya telah menggesa pihak berkuasa Turkey untuk "mendapatkan kesepakatan nasional seluas mungkin" apabila menjalankan pindaan terhadap perlembagaannya. - Agensi