KABUL: Sekurang-kurangnya enam orang terbunuh setelah penunjuk perasaan bertembung dengan polis di wilayah Ghor barat Afghanistan semalam (9 Mei).
Pertembungan tersebut berlaku setelah penunjuk perasaan bertindak ganas atas apa yang mereka lihat sebagai pengedaran bantuan makanan yang tidak adil.
Empat orang awam dan dua pegawai polis maut dalam kejadian itu, menurut Encik Tariq Arian, jurucakap Kementerian Dalam Negeri.
"Satu delegasi akan dihantar dari Kabul untuk menyiasat kejadian itu secara menyeluruh," katanya, sambil menambah bahawa sepuluh pegawai polis dan sembilan orang awam cedera.
Pihak polis melepaskan tembakan setelah sekitar 300 penunjuk perasaan mula melemparkan batu, melepaskan tembakan dan cuba memasuki rumah gabenor, kata Encik Mohammad Arif Aber, jurucakap gabenor wilayah Ghor.
Beliau menafikan bahawa bantuan telah diedarkan secara tidak adil.
Pemerintah telah mengedarkan bantuan makanan di seluruh negara setelah perintah kawalan dilaksanakan menyusuli penularan wabak koronavirus yang telah menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan selain harga makanan yang meningkat.
Afghanistan telah melaporkan 4,033 kes dan 115 kematian. - Reuters


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg