Topik diikuti
Pergi ke BHku67 kanak-kanak di M'sia maut kerana Covid-19 tahun ini
80% daripada kanak-kanak yang layak disasar divaksin jelang 2022
67 kanak-kanak di M'sia maut kerana Covid-19 tahun ini
PETALING JAYA: Dengan 67 kanak-kanak meninggal dunia akibat Covid-19 tahun ini, berbanding enam kematian pada tahun lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mahu menyelesaikan inokulasi Covid-19 buat 80 peratus kanak-kanak yang layak sebelum sekolah dibuka semula pada 2022.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata trend kenaikan jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak di negara itu amat membimbangkan, begitu juga dengan kenaikan ketara kes kematian di kalangan kumpulan umur itu.
Justeru, katanya, KKM menyasarkan 60 peratus kanak-kanak dan remaja berusia 12 hingga 17 tahun mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang November ini, dengan 80 peratus daripadanya layak mendapat dos lengkap sebelum sekolah dibuka pada sesi 2022.
"Perangkaan yang menunjukkan trend peningkatan jangkitan di kalangan kanak-kanak (0 hingga 18 tahun) di Malaysia amat membimbangkan.
"Juga menjadi perhatian adalah perangkaan kematian, dengan 67 kematian di kalangan kanak-kanak telah dilaporkan pada 2021 hingga 19 September, dibandingkan dengan enam kematian pada 2020," katanya.
"Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sudah memberi kelulusan bersyarat kepada semua kanak-kanak remaja yang telah mencapai umur 12 tahun dan ke atas untuk divaksinasi.
"Sehubungan itu, ibu bapa dan penjaga dinasihatkan supaya mendaftarkan anak mereka yang layak menerusi institusi pendidikan masing-masing dan melalui aplikasi MySejahtera dengan segera.
"Seperti ubat lain, vaksin Covid-19 juga mempunyai kesan sampingan yang pada kebiasaannya adalah ringan dan pulih dalam masa yang singkat.
"Namun, KKM ingin menegaskan faedah mengambil vaksin Covid-19 ini adalah jauh lebih bermanfaat berbanding kemudaratan akibat jangkitan virus itu," katanya.
Terdahulu, program 'Kick-Off' Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) Remaja dimulakan kelmarin di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 8 (1) sebagai persediaan menjelang pembukaan sekolah.
Tan Sri Noor Hisham berkata institusi pendidikan, perlindungan, pemulihan dan tahanan dikehendaki mendaftar melalui portal vaksinanakku.herokuapp.com bagi membolehkan penjadualan vaksinasi dibuat bagi remaja yang berada di institusi berkenaan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) manakala remaja di luar institusi, pendaftaran melalui MySejahtera diperlukan.
Antara yang perlu diambil perhatian selepas mendapat suntikan vaksin ialah kemungkinan sakit atau bengkak di tempat suntikan, penat, sakit kepala, sakit otot, menggigil dan demam.
"Ibu bapa perlu mengawasi gejala awal seperti sakit dada, sukar bernafas dan jantung berdegup laju selepas anak menerima vaksin untuk segera mendapatkan penilaian kesihatan, selain mengawasi anak supaya tidak melakukan aktiviti lasak dalam tempoh seminggu selepas vaksinasi," jelasnya. - The Star, BHM.