KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (Nadma), berkata Perak, Selangor, Melaka, Johor, Pahang, Kelantan dan Sarawak masih lagi terjejas dilanda banjir dengan 3,546 mangsa daripada 1,047 keluarga dilaporkan mendapat perlindungan di pusat-pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga tengahari semalam.
Nadma, dalam satu kenyataannya juga menyebut tiga buah pusat PPS telah ditutup - iaitu PPS Sekolah Kebangsaan Sri Kiambang di Pasir Mas (Kelantan); PPS Surau Kampung Padang Serai Dalam di Larut (Perak); dan PPS Dewan Tun Haji Mustapha di Lahad Datu (Sabah).
Pada masa yang sama, terdapat 11 buah PPS baru dibuka - dua di Raub (Pahang); tiap satu di daerah Larut, Matang dan Selama di Perak, serta tujuh lagi di Selangor.
Nadma juga memaklumkan bahawa Jabatan Pengairan dan Parit (JPS) melaporkan sehingga pukul 4 petang semalam, 13 buah sungai berada pada paras bahaya, melibatkan Sarawak (di Long Teru dan Marudi, Miri); Pahang (Sungai Serting di Padang Gudang Bridge, Bera); Johor (Sungai Lenik di Ladang Chaah, Segamat); Negeri Sembilan (Sungai Linggi di Pekan Linggi, Port Dickson); dan Melaka (Sungai Melaka di Melaka Pindah (Alor Gajah) dan Sungai Melaka di Batu Hampar (Pusat Melaka).
Di Selangor, paras bahaya dilaporkan di Sungai Binjai di Bandar Meru (Klang); Sungai Rasau di Taman Desa Kemuning (Klang); Sungai Langat di Bukit Changgang (Kuala Langat); Sungai Selangor di Rantau Panjang (Kuala Selangor); Sungai Langat di Dengkil (Sepang); dan Sungai Langat di Jenderam Hilir (Sepang).
Selain itu, amaran juga dikeluarkan bagi lapan sungai: Sungai Long Jegan, Miri (Sarawak); Sungai Kandis di Kampung Jawa, Klang (Selangor); Johor (Sungai Muar di Kampung Awat (Segamat); Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur (Tangkak); dan Parit Keling di Kampung Pasir (Johor Bahru); Sungai Muar di Bandar Rompin (Jempol); Sungai Muar di Kampung Berembang di Kuala Pilah (Negeri Sembilan) dan Sungai Kelantan di Rantau Panjang, Pasir Mas (Kelantan).
Sementara itu, menurut Nadma, JPS telah membuat pengumuman awam tentang kedudukan terkini di Taman Sri Muda, Shah Alam pada tengahari semalam, apabila beberapa lokasi di situ mengalami limpahan air sungai.
Nadma juga telah mengingatkan para penduduk supaya berjaga-jaga dan sentiasa mematuhi arahan dari masa ke masa.
Para pengguna jalan raya juga diminta supaya mematuhi arahan dan merujuk kepada maklumat bencana sebelum memulakan perjalanan.
Sementara itu, sehingga 4.30 petang kelmarin, JPS mengeluarkan notis memberitahu para penduduk (di kawasan mudah banjir supaya berjaga-jaga) di Kedah, Perlis, Perak, Penang, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sarawak.
JPS juga menyebut tentang ramalan cuaca dari Jabatan Kaji Cuaca Malaysia bahawa hujan lebat dan ribut petir dijangkakan di beberapa kawasan dan kemungkinan mengalami risiko banjir. - Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg