BERLIN: Beberapa orang terbunuh berikutan kejadian tembakan di sebuah gereja Jehovah's Witness dekat Hamburg di utara Jerman, pada Khamis. Motif serangan itu masih belum jelas, kata polis di sini. Polis menyatakan pelaku serangan itu mungkin antara mereka yang terbunuh itu, namun pihaknya masih menyiasat. Beberapa orang lagi cedera parah. Namun polis belum mahu mengatakan berapa ramai yang terbunuh. Laporan akhbar The Bild mengatakan bahawa tujuh orang terbunuh dan lapan lain cedera dalam kejadian tembakan di Dewan Kingdom di gereja Jehovah's Witness itu. Polis menerima panggilan sekitar 9 malam waktu tempatan (waktu Singapura 4 pagi, Jumaat), kata seorang jurucakap polis. Polis bergegas ke tempat kejadian dan mendapati beberapa orang cedera parah dan beberapa yang lainnya mati. Agensi berita Jerman, DPA, memetik seorang wartawan di tempat kejadian sebagai berkata penduduk tempatan di daerah utara Alsterdorf di Hamburg telah menerima amaran pada telefon bimbit mereka mengenai "ancaman mati". Sejurus itu, jalan-jalan raya di situ dikepung. Rakaman televisyen menunjukkan puluhan kenderaan polis serta kereta bomba telah mengepung jalan dengan beberapa orang kelihatan diselubungi selimut. Mereka telah diarahkan oleh anggota pasukan kecemasan untuk bergerak menuju ke sebuah bas. - Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg