Topik diikuti
Pergi ke BHku80 maut, hospital dipenuhi ikan akibat banjir di India
80 maut, hospital dipenuhi ikan akibat banjir di India
NEW DELHI: Air kotor bersama ikan membanjiri sebuah hospital di timur laut India selepas hujan monsun menyebabkan sekurang-kurangnya 80 orang maut dalam nahas berkaitan cuaca sejak beberapa hari lalu, kata pihak berkuasa.
Pesakit duduk dengan kaki mereka di atas katil di hospital Kolej Perubatan Nalanda di Bihar, India, apabila air membanjiri unit jagaan rapi (ICU), menyebabkan keadaan huru-hara.
"Sebahagian lantai tingkat bawah dipenuhi air (Ahad lalu) selepas sebatang paip tersumbat akibat hujan lebat, menyebabkan banjir," kata pengetua kolej hospital, Sitaram Prasad.
Puluhan ribu bangunan dan rumah di seluruh India kerap dinaiki air ketika musim monsun dari Jun hingga September, menyebabkan kemusnahan dan kematian.
Kira-kira 545 maut di seluruh negara sejak Mei lalu akibat hujan, dengan lebih sejuta penduduk terjejas.
Ketua Pengurusan Bencana di Uttar Pradesh di barat Bihar, Sanjay Kumar berkata, 80 orang terkorban akibat rumah atau dinding runtuh sejak Khamis lalu selepas hujan lebat turun di kebanyakan rantau tersebut.
Sementara itu, Mumbai, ibu kota India, menerima hujan lebat selama beberapa hari yang menjejaskan pengangkutan awam dan mengakibatkan banjir teruk. - AFP