PEMBAYARAN gaji pekerja dan ketiadaan pelanggan, mendominasi isu dan cabaran yang dihadapi oleh syarikat serta firma perniagaan di Malaysia sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan negara itu, Harian Metro melaporkan hari ini.
Ketua Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, penilaian itu diperoleh menerusi 4,094 responden yang menyertai Tinjauan Khas Kesan Covid-19 Kepada Syarikat atau Firma Perniagaan (Pusingan 1) yang dilaksanakan DOSM secara dalam talian bermula 10 April hingga 1 Mei lalu.
"Berdasarkan tinjauan, 88.8 peratus syarikat sendirian berhad menghadapi isu dan cabaran dalam pembayaran gaji pekerja, diikuti ketiadaan pelanggan (63.2 peratus).
"Sebaliknya, (perniagaan) hak milik perseorangan pula menyatakan cabaran utama adalah ketiadaan pelanggan iaitu 70.7 peratus dan diikuti pembayaran gaji pekerja (62.5 peratus)," katanya menerusi satu kenyataan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg