Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

9 hakim Indonesia akan muktamadkan had usia calon presiden, naib presiden

Oct 12, 2023 | 3:47 PM
BAKAL BUAT KEPUTUSAN: Ketua Mahkamah Perlembagaan Indonesia, Encik Anwar Usman, sahkan akan putuskan umur minimum calon presiden dan naib presiden bagi Pilihan Raya Presiden 2024.
BAKAL BUAT KEPUTUSAN: Ketua Mahkamah Perlembagaan Indonesia, Encik Anwar Usman, sahkan akan putuskan umur minimum calon presiden dan naib presiden bagi Pilihan Raya Presiden 2024. - Foto MAHKAMAH KONSTITUSI INDONESIA

JAKARTA: Ketua Mahkamah Perlembagaan Indonesia, Encik Anwar Usman, telah mengesahkan keputusan semakan kehakiman berhubung had umur minimum bagi calon presiden dan timbalan presiden dalam pilihan raya yang dijadualkan pada Februari 2024.

Beliau mengeluarkan kenyataan ini sebagai respons kepada pertanyaan daripada wartawan mengenai semakan yang dijadualkan untuk menurunkan had umur calon presiden dan timbalannya yang bakal dibacakan oleh Mahkamah Perlembagaan pada Isnin.

Encik Anwar menyatakan: “Kelmarin sudah diputuskan. Insya-Allah jika tiada halangan, sembilan hakim perlembagaan akan menghadiri sidang bagi membacakan keputusannya pada 16 Oktober ini.”

Peraturan yang ada sekarang memperuntukkan had umur minimum bagi calon presiden dan timbalan presiden adalah 40 tahun.

Sebelum ini, Mahkamah Perlembagaan menerima tujuh permohonan semakan kehakiman yang mendesak untuk menurunkan had umur calon presiden dan timbalan presiden kepada 35 tahun.

Keputusan pembacaan semakan ini dibuat empat hari sebelum pendaftaran calon dijadualkan untuk dibuka oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU) Indonesia pada 19 Oktober.

Jika permintaan untuk menurunkan had umur calon presiden dan timbalan presiden diterima, anak sulung Presiden Joko Widodo (Jokowi), yang kini memegang jawatan Datuk Bandar Solo, Encik Gibran Rakabuming Raka, berpotensi untuk memasuki Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024.

Sebelum ini, Encik Gibran mengakui bahawa Pengerusi Parti Gerindra, Encik Prabowo Subianto, telah mengulangi permintaan untuk bergandingan dengannya sebagai calon timbalan presiden, walaupun usianya baru mencapai 36 tahun.

Pakar undang-undang perlembagaan dari Universiti Andalas, Encik Feri Amsari, berkata mahkamah tidak sepatutnya mengambil kes itu, dengan alasan perubahan yang diminta sepatutnya dilakukan dengan mengemukakan rang undang-undang ke Parlimen.

“Ini tidak sihat untuk demokrasi di negara kita,” katanya sambil menyatakan proses pilihan raya sudah dijalankan.

“Walaupun mahkamah berkemungkinan mengekalkan umur minimum tidak berubah, hakim boleh menambah klausa yang membenarkan sesiapa yang berpengalaman bekerja sebagai pegawai kanan kerajaan untuk dicalonkan,” kata Encik Feri, sambil menambah ini masih akan menguntungkan Encik Gibran jika beliau bercadang untuk bertanding. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg