AMERIKA SYARIKAT: Kejadian menembak di tiga bandar Amerika Syarikat telah meragut nyawa sembilan orang dan mencederakan 24 yang lain pada Sabtu malam dan pagi Ahad lalu.
Ini sekali gus merupakan kejadian tembakan senjata api terkini menyusuli tiga insiden tembakan rambang yang telah menggegarkan Amerika baru-baru ini.
Di Philadelphia, satu konfrontasi antara dua lelaki telah mengakibatkan satu insiden tembak.
Peluru memasuki kawasan sebuah bar yang sibuk dan restoran berdekatan.
Ia membunuh tiga orang, mencederakan 12 orang selain menimbulkan panik sedang ramai yang lari bertempiaran dalam percubaan menyelamatkan diri, kata polis.
Pada masa yang sama, kejadian tembak itu juga berlaku selepas tengah malam pada hari Sabtu berdekatan dengan sebuah bar di Chattanooga, Tennessee, membunuh tiga dan mencederakan 14 yang lain, menurut polis.
Dalam satu lagi kejadian tembak pada awal pagi Ahad, tiga orang terbunuh manakala dua cedera di Saginaw, Michigan, lapor televisyen Weyi, sambil menukil kenyataan polis.
Tidak seperti dua lagi kes, yang menjejas orang awam yang tiada kaitan dengan penembakan itu, kesemua lima orang dalam kejadian menembak di Michigan terlibat dalam kejadian itu, kata polis.
Tiada suspek dilaporkan ditangkap sehingga petang Ahad dalam sebarang penembakan tersebut.
Keganasan itu tercetus sedang masyarakat di tiga lagi bandar masih lagi berkabung menyusuli insiden yang membunuh 10 orang di kedai runcit dekat Buffalo, New York; 21 mangsa di sekolah dekat Uvalde, Texas; dan empat lagi di bangunan perubatan di Tulsa, Oklahama.
Di Uvalde, kanak-kanak 10 tahun, Alithia Haven Ramirez, telah dikebumikan pada Ahad lalu.
Dia merupakan antara 19 kanak-kanak sekolah yang terbunuh dalam tembakan rambang yang dilakukan oleh seorang lelaki 18 tahun yang bersenjatakan senapang separa automatik AR-15.
Penyokong keselamatan senjata api sedang menggesa pemerintah Amerika supaya mengambil langkah lebih ketat untuk mengekang keganasan senjata api.
Terdapat sekurang-kurangnya 240 tembakan rambang di Amerika sejauh ini pada tahun ini, menurut Arkib Keganasan Senjata Api, sebuah kumpulan penyelidikan bukan mengaup untung.
Penembakan rambang disifatkan sebagai sesuatu kejadian dengan sekurang-kurangnya empat orang ditembak, tidak termasuk si penembak.
Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, pada Khamis lalu menggesa Kongres supaya melarang senjata serangan, meluaskan pemeriksaan latar belakang dan melaksanakan langkah pengawalan senjata api yang lain untuk menangani pelbagai penembakan rambang. - Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg