Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

SEMPENA 20 TAHUN SERANGAN PENGGANAS 9/11

9/11 buat Muslim AS lawan prasangka, bina jambatan dan cabar stereotaip

Serangan Al-Qaeda cetus Islamofobia tetapi tidak halang Islam berkembang di Amerika, dengan jumlah Muslim bertambah hampir 50%
911
Sep 13, 2021 | 05:30 AM



WASHINGTON: Tingkap di bahagian pemandu kereta diturunkan dan tidak semena-mena seorang lelaki menjerit 'pengganas' terhadap dua budak perempuan berhijab.



Kejadian 2001 itu berlaku hanya beberapa minggu selepas bangunan Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York, Amerika Syarikat, diserang hingga musnah mencium bumi.



Ketika itu, Shahana Hanif, 10 tahun, bersama adik perempuannya sedang berjalan ke sebuah masjid di Brooklyn.



Memasuki tahun ke-20 serangan 9/11 itu, Cik Shahana masih menyimpan kemas memori menakutkan yang menyelubungi dirinya sekeluarga.



Perasaan takut sentiasa membelenggu dirinya akibat orang sekeliling memandang serong terhadap dirinya, yang masih bergelar kanak-kanak ketika itu.



Tetapi, kejadian itu juga mendorong beliau bertekad bersuara untuk dirinya sendiri dan orang lain.



"Tiada sebarang perkataan baik dilontarkan. Hanya kekejaman dan bahaya yang menanti kami di depan. Namun, serangan itu membakar azam kami untuk berani bersuara bagi diri sendiri dan orang lain, sekali gus membantu membentuk diri kami sekarang," kata beliau, yang ibu bapanya asal Bangladesh.



Cik Shahana menjadi aktivis masyarakat yang menjadi calon pilihan untuk memenangi kerusi dalam Majlis Bandar Raya New York pada pilihan raya perbandaran akan datang.



Nasib yang dialami oleh Cik Shahana itu turut dirasai penduduk Islam lain di Amerika yang membesar dibayangi kisah silam 9/11.



Seperti Hanif, Muslim muda Amerika lain membesar di bawah bayangan 9/11. Ramai menghadapi permusuhan, kecurigaan, pertanyaan mengenai iman mereka, keraguan terhadap ciri Amerika mereka.



Namun, mereka juga menemui cara melawan bias, mengatur, membuat naratif peribadi bernuansa mengenai identiti mereka. Dalam proses itu, mereka membina jambatan dan mencabar stereotaip.



Serangan pada 11 September 2001 itu turut menggemparkan Pentagon apabila sebuah pesawat menghentam 'kubu pertahanan' utama Amerika itu, selain sebuah lagi pesawat terhempas di Pennsylvania.



Dua puluh tahun lalu, hampir 3,000 orang terbunuh dalam kejadian 9/11, yang mengubah politik dunia selepas 19 orang merampas empat pesawat penumpang Amerika dengan dua daripadanya merempuh dua menara WTC.



Pesawat ketiga, Penerbangan 77 American Airlines, merempuh Pentagon, menyebabkan 184 orang terbunuh, manakala pesawat keempat, Penerbangan 93 United Airlines, terhempas di sebuah padang di Shanksville, Pennsylvania, membunuh 40 orang.



Menurut Daily Mail, 2,977 terbunuh di New York, Washington DC dan Shanksville, Pennsylvania, dalam serangan yang didakwa Amerika dilakukan kumpulan Al-Qaeda pimpinan Osama bin Laden.



Di WTC, Lower Manhattan, 2,753 terbunuh apabila pesawat Penerbangan 11 American Airlines dan Penerbangan 175 United Airlines merempuh Menara Utara dan Selatan.



Menara berkembar WTC itu runtuh 102 minit selepas serangan tersebut.



CNN melaporkan korban serangan di WTC itu termasuk 343 anggota bomba New York, 23 anggota polis dan 37 kakitangan Pihak Berkuasa Pelabuhan.



Mangsa berusia antara dua hingga 85 tahun, dengan 80 peratus adalah lelaki.



Ramai orang terpaksa menghadapi permusuhan, ketidakpercayaan, curiga dan ragu-ragu mengenai kepercayaan yang dianuti mereka selepas serangan 9/11.



Satu tinjauan yang dilakukan oleh The Associated Press (AP)-NORC Center for Public Affairs Research mengenai serangan 9/11 itu mendapati 53 peratus rakyat Amerika mempunyai pandangan tidak selesa terhadap Islam, berbanding 42 peratus tidak mempunyai sebarang masalah.



Pendirian itu sangat berbeza daripada pendapat rakyat Amerika terhadap agama Kristian dan Yahudi, dengan kebanyakan responden menzahirkan keselesaan.



Pakar Sains Politik di Universiti Christopher Newport, Virginia, Youssef Chouhoud, berkata masalah ketidakpercayaan dan kecurigaan terhadap umat Islam bertambah teruk selepas serangan 9/11.



Menurutnya, umat Islam di negara itu sering menjadi sasaran, ditentang dan dipandang rendah.



Bagi sebahagian orang, 9/11 menyebabkan isu perkauman berbeza.



Seorang aktivis asal Yaman yang membesar di New York, Debbie Almontaser, berkata kebanyakan pendatang Arab dan Asia Selatan datang ke Amerika dengan tujuan mencapai impian menjadi doktor, peguam dan usahawan.



"Bagi saya, sebagai penganut Islam Afrika di AS, cabaran terbesar ialah berkenaan bangsa dan identiti," kata Imam Ali Aqeel daripada Pusat Kebudayaan Muslim Amerika di Nashville, Tennessee.



Islamofobia bermaksud 'takut, benci dan prejudis ke atas agama Islam dan penganutnya'. Islamofobia selalu dikaitkan dengan geopolitik dan perbuatan yang dilakukan, pengganasan.



Majlis bagi Hubungan Amerika-Islam (Cair) melakukan analisis untuk melihat trend Islamofobia di Amerika hari ini.



Data yang diperolehi menunjukkan ada peningkatan signifikan dalam bentuk serangan ke atas umat Islam, iaitu daripada 1,342 kes pada 2014 kepada 3,023 kes pada 2018.



Tragedi itu mengubah politik dunia apabila Amerika menyerang Afghanistan bagi menghapuskan Al-Qaeda.



Banyak negara mengubah atau memperkukuh undang-undang antipengganasan, dan pandangan dunia terhadap Islam juga berubah dengan ramai Muslim dianggap pengganas, sekali gus mewujudkan Islamofobia.



Bagaimanapun, pada masa sama, Islam sebenarnya semakin berkembang di Barat walaupun dihimpit isu Islamofobia. Semakin Islam ditekan, kelihatannya syiar Islam semakin berkembang.



Peratusan masyarakat Barat yang ingin tahu tentang Islam semakin meningkat apabila kejadian keganasan berlaku, baik dilakukan pihak Barat mahupun umat Islam. Ini impak positif daripada Islamofobia.



Populasi umat Islam di Amerika berkembang dengan pesat sejak sedekad lalu.



Tragedi 9/11, yang menyebabkan ketakutan dan kebencian terhadap umat Islam dan seterusnya mencetuskan Islamofobia, tidak menjadi halangan kepada perkembangan Islam di Amerika.



Menurut kajian yang dilakukan oleh Pew Research Center, pada 2007 populasi umat Islam di Amerika berjumlah 2.35 juta, namun pada 2017, jumlah itu bertambah hampir 50 peratus kepada 3.45 juta orang.



Sungguhpun begitu, 9/11 kekal sebagai tarikh amat penting dalam sejarah Amerika. Kepentingannya melangkau 22 November, iaitu hari Jumaat Presiden John F. Kennedy ditembak mati.



Malah, melebihi 24 Julai, hari Neil Armstrong menjadi manusia pertama berjalan di Bulan. - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >