99 diberkas, dadah lebih $38,000 dirampas dalam operasi CNB seluruh S’pura
99 diberkas, dadah lebih $38,000 dirampas dalam operasi CNB seluruh S’pura
Dadah bernilai lebih $38,000 telah dirampas oleh Biro Narkotik Pusat (CNB) dalam operasi antidadah di seluruh negara dari 2 hingga 6 Februari.
Sebanyak kira-kira 210 gram (gm) ganja, 146 gm heroin, 80 gm Ice, tujuh gm ketamin, 100 pil Tapentadol, 11 pil Ecstasy, sedikit Bahan Psikoaktif baru, setem lysergic acid diethylamide (LSD) dan sebotol metadon telah dirampas.
Turut dirampas pelbagai produk berkaitan vape termasuk 75 pod e-rokok yang dipercayai mengandungi dadah etomidate, bersama wang tunai berjumlah $7,075.35.
CNB juga menahan 99 suspek pesalah dadah.
Operasi itu meliputi beberapa kawasan termasuk Ang Mo Kio, Choa Chu Kang, Jurong, Marine Parade, Marsiling dan Sembawang.
Menurut CNB, seorang lelaki berusia 31 tahun dan wanita berusia 24 tahun telah ditangkap pada 3 Februari kerana disyaki melakukan kesalahan berkaitan dadah dalam serbuan di sebuah unit kediaman di Tengah.
Semasa serbuan itu, pegawai terpaksa memecah masuk selepas pasangan warga Singapura itu enggan mematuhi perintah yang sah untuk memberi pegawai akses ke bilik tersebut.
Sejumlah kecil dadah jenis Ice dan peralatan dadah telah dirampas.
Dalam operasi susulan, CNB menyerbu sebuah unit kediaman di Choa Chu Kang pada 4 Februari dan menahan seorang lelaki warga Singapura berusia 26 tahun kerana disyaki melakukan kesalahan mengedar dadah.
Sekitar 123 gm ganja, enam gram ketamin dan peralatan dadah telah dirampas daripada bilik tidur lelaki itu.
Pada 5 Februari, dalam siri operasi di Marsiling, CNB menahan seorang lelaki berusia 63 tahun kerana disyaki mengambil dadah dan seorang lelaki berusia 65 tahun juga diberkas kerana disyaki melakukan kesalahan mengedar dadah di rumah masing-masing di Marsiling Lane.
Kedua-dua lelaki itu adalah warga Singapura.
Selepas kedua-dua premis digeledah, sejumlah kecil heroin dan peralatan dadah telah dirampas daripada flat lelaki berusia 65 tahun itu.
Pada 5 Februari di Marsiling Road pula, seorang lelaki warga Singapura berusia 52 tahun telah ditangkap kerana disyaki mengambil dadah di sebuah flat.
Dua lelaki warga Singapura lain, berumur 60 dan 69 tahun, telah ditangkap di unit lain kerana disyaki mengedar dan mengambil dadah.
Sekitar 15 gm heroin, 12 gm Ice, peralatan dadah dan wang tunai berjumlah $6,626.60 telah dirampas di unit kedua.
Siasatan terhadap semua suspek yang diberkas sedang giat dijalankan.

