KUALA LUMPUR: Abang Allahyarham Siti Sarah Raisuddin, Ahmad Firdous Raissuddin yang ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ekoran keadaan kesihatannya yang menurun akibat jangkitan Covid-19 mula sedarkan diri.
Perkara itu dimaklumkan suami Allahyarham Siti Sarah, Shuib selepas membuat panggilan video bersama bapa mertuanya, Raisuddin Hamzah.
"Terima kasih pada yang mendoakan tetapi kita sambung lagi doa untuk yang lain yang sedang bertarung nyawa, kita nak semua orang kembali sihat, balik jumpa keluarga," katanya dalam entri terbaru di laman sosial Instagramnya pada Jumaat.
Ahmad Firdous ditidurkan sejak 5 pagi semalam bagi membolehkan paru-parunya berehat.
Beliau dan isterinya positif Covid-19 sementara dua anak pasangan itu dilaporkan bebas daripada jangkitan virus berkenaan.
Isnin lalu, Siti Sarah yang juga penyanyi popular meninggal dunia akibat Covid-19 selepas 48 jam ditidurkan di ICU, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kuala Lumpur.
Tiga hari sebelum pemergiannya, Siti Sarah melahirkan anak keempat melalui pembedahan.