RAMALLAH/BAITULMAKDIS: Presiden Penguasa Palestin, Encik Mahmoud Abbas, menyambut baik langkah Britain, Australia, Canada dan Portugal mengiktiraf negara Palestin pada 21 September, namun Israel menolak keras keputusan itu dengan alasan ia hanya menguntungkan Hamas dan merosakkan peluang perdamaian.
Dalam masa yang sama, negara-negara Arab menyifatkan pengiktirafan itu sebagai perkembangan bersejarah yang membuka jalan kepada penyelesaian dua negara.
Dalam kenyataannya, Encik Abbas menekankan bahawa pengiktirafan itu adalah satu langkah penting untuk mencapai keamanan yang adil dan berkekalan.
“Pengiktirafan terhadap hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri, kebebasan dan kemerdekaan adalah asas bagi pelaksanaan penyelesaian dua negara.
“Ia akan membolehkan negara Palestin hidup berdampingan dengan Israel dalam suasana aman, selamat dan berjiran baik,” katanya, dipetik agensi berita rasmi Palestin, Wafa.
Beliau menambah, keutamaan utama ketika ini adalah menghentikan peperangan.
“Kami mahukan gencatan senjata segera, kemasukan bantuan kemanusiaan tanpa halangan, pembebasan semua tebusan dan tahanan, serta pengunduran penuh tentera Israel dari Semenanjung Gaza,” tegas Encik Abbas.
Presiden Penguasa Palestin itu turut mengulangi komitmen negaranya terhadap reformasi dalaman serta kesediaan untuk bertanggungjawab dalam usaha pemulihan dan pembinaan semula Gaza selepas perang.
Bagaimanapun, Israel memberikan reaksi berbentuk kemarahan terhadap pengiktirafan tersebut.
Kementerian Luar Israel menegaskan bahawa mereka “menolak sekeras-kerasnya” keputusan Britain dan negara Barat lain.
Dalam kenyataan yang dipetik The Times of Israel, kementerian itu menyifatkan langkah tersebut “menggegarkan rantau ini dan merosakkan peluang untuk mencapai penyelesaian damai di masa hadapan”.
Israel mendakwa pengiktirafan itu hanya memberi penghormatan kepada serangan 7 Oktober 2023 – yang mereka sifatkan sebagai “pembunuhan beramai-ramai terbesar orang Yahudi sejak Holocaust” sekali gus mengukuhkan kedudukan Hamas.
“Pihak Penguasa Palestin adalah sebahagian daripada masalah, bukan sebahagian daripada penyelesaian,” tambah kenyataan itu.
Israel turut menuduh pihak berkuasa Palestin terus menghasut kebencian, memberi ganjaran kepada pengganas dan gagal mengekang keganasan.
“Israel tidak akan menerima sebarang percubaan untuk memaksa sempadan yang mustahil dipertahankan.
“Jika benar negara-negara Barat ini mahu menstabilkan rantau ini, mereka sepatutnya menekan Hamas supaya membebaskan tebusan dan melucutkan senjata mereka,” jelas kementerian itu.
Sementara itu, negara-negara Arab menyambut baik pengiktirafan rasmi oleh Britain, Canada, Australia dan Portugal.
Arab Saudi dalam kenyataannya berkata langkah itu “mencerminkan iltizam tulen negara-negara sahabat untuk menyokong jalan perdamaian dan memperkukuh penyelesaian dua negara berdasarkan resolusi sah PBB (Pertubuhan bangsa-bangsa Bersatu)”.
Kuwait pula menegaskan bahawa pengiktirafan itu “akan meningkatkan peluang perdamaian di rantau ini serta menyokong usaha antarabangsa ke arah penyelesaian dua negara”.
Kementerian Luar Oman menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai perkembangan penting dari segi keamanan dan keselamatan serantau.
Oman sekali lagi menggesa semua negara lain turut mengiktiraf Palestin “bagi menjamin hak sah rakyat Palestin menubuhkan negara merdeka berdasarkan sempadan 1967 dengan Baitulmakdis Timur sebagai ibu kota”.
Jordan turut menyatakan sokongan penuh.
Raja Abdullah II memuji keputusan Australia ketika bertemu Perdana Menteri, Encik Anthony Albanese, di New York, sambil menegaskan pengiktirafan itu seiring dengan “kehendak antarabangsa yang semakin meningkat untuk menamatkan pendudukan dan menjamin hak rakyat Palestin menubuhkan negara mereka”.
Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dalam kenyataan berasingan menyifatkan pengiktirafan Barat itu sebagai “perkembangan bersejarah yang penting ke arah mencapai keadilan dan keabsahan antarabangsa”. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg