Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Abbas seru negara supaya iktiraf segera Negara Palestin

Dec 13, 2024 | 10:25 AM
Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas (kiri), dan Pope Francis, mengadakan  pertemuan peribadi di Vatican pada 12 Disember.
Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas (kiri), dan Pope Francis, mengadakan pertemuan peribadi di Vatican pada 12 Disember. - Foto AFP

BANDAR VATICAN: Presiden Penguasa Palestin, Encik Mahmoud Abbas, menyeru negara yang belum mengiktiraf Negara Palestin agar segera melakukannya.

Seruan itu dibuat di majlis perasmian bangunan baru Kedutaan Palestin di Vatican pada 12 Disember.

Majlis tersebut menandakan satu pencapaian penting dalam usaha diplomatik Palestin.

Selepas menaikkan bendera Palestin di bangunan kedutaan yang baru, Presiden Abbas menegaskan kepentingan pengiktirafan tersebut.

“Pengiktirafan terhadap Negara Palestin adalah langkah penting dalam memastikan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib mereka sendiri, khususnya dalam merealisasikan sebuah negara merdeka dengan Baitulmakdis Timur sebagai ibu negara,” katanya.

Encik Abbas mengulangi komitmennya kepada huraian dua negara berdasarkan resolusi antarabangsa yang relevan.

Beliau juga menyeru masyarakat antarabangsa supaya memikul tanggungjawab dalam memastikan hak rakyat Palestin dipertahankan.

“Saya menyeru kepada semua negara di dunia agar memberikan sokongan kepada usaha Palestin menjadi anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan memperluaskan pengiktirafan antarabangsa terhadap negara kami,” tambah beliau.

Pada majlis itu, Encik Abbas turut bertemu pemimpin Gereja Katolik Dunia, Pope (Paus) Francis. Pertemuan peribadi selama setengah jam itu memberi mereka peluang membincangkan isu kemanusiaan yang serius, khususnya situasi di Gaza.

Paus Francis menegaskan pendirian Gereja Katolik dalam menyokong keamanan yang adil di Palestin berdasarkan penyelesaian dua negara.

Encik Abbas, dalam kenyataan beliau, menyampaikan penghargaan kepada Paus atas sokongan itu.

“Paus Francis memainkan peranan penting dalam menyuarakan sokongan terhadap keamanan di Palestin, dan kami amat menghargai pendirian beliau,” ujarnya.

Paus Francis turut memberikan hadiah simbolik kepada Encik Abbas berupa sebuah karya seni gangsa bertulis “Keamanan adalah bunga yang rapuh” – melambangkan pentingnya menjaga kedamaian.

Sehingga kini, 149 negara telah mengiktiraf Palestin, dengan Armenia menjadi negara terbaru melakukannya pada 21 Jun. Palestin juga telah menubuhkan misi diplomatik di 110 negara. Vatican sendiri mengiktiraf Palestin secara rasmi pada 13 Mei 2015 dan menandatangani perjanjian menyeluruh dengan Palestin pada 26 Jun 2015.

Encik Abbas juga dijadual bertemu Presiden Italy, Encik Sergio Mattarella, dan Perdana Menteri, Cik Giorgia Meloni, dalam lawatan singkat beliau ke Rome.

Dalam pertemuan itu, mereka membincangkan keadaan kemanusiaan serius di Gaza.

Vatican melahirkan harapan gencatan senjata dicapai segera dan semua tebusan dibebaskan.

“Gaza sedang menghadapi krisis amat genting. Masyarakat antarabangsa perlu bertindak segera untuk menghentikan keganasan dan memastikan keamanan,” kata Paus Francis, yang sebelum ini mengkritik kempen ketenteraan Israel di Gaza dan Lebanon. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg