Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Abu letusan Gunung Merapi selubungi kota sekitarnya

Muntah awan panas hingga 7km tinggi, lava sejauh 1.5km pada Sabtu, usaha bersihkan abu giat dijalankan
Mar 14, 2023 | 5:30 AM
LAVA TERUS MENGALIR: Gunung Merapi terus memuntahkan lava pada Isnin. Apabila ia mula meletus pada 11 Mac, lava mengalir hingga sejauh 1.5 km. - Foto-foto AFP
LAVA TERUS MENGALIR: Gunung Merapi terus memuntahkan lava pada Isnin. Apabila ia mula meletus pada 11 Mac, lava mengalir hingga sejauh 1.5 km. - Foto-foto AFP -

MAGELANG (Jawa Tengah): Penguasa kota Magelang di wilayah Jawa Tengah telah mengambil langkah-langkah bagi mengurangkan kesan abu gunung berapi berikutan letusan Gunung Merapi pada 11 Mac.

Pemangku Setiausaha Serantau bagi Kota Magelang, Encik Larsita, berkata pada Ahad pihaknya segera mengadakan mesyuarat penyelarasan selepas abu menghujani kota tersebut, yang terletak di bahagian barat gunung tersebut.

Beliau berkata pejabat alam sekitar kota itu, Badan Penanggulan Bencana Daerah (BPBD), perkhidmatan bomba, dan syarikat bekalan air bersih (PDAM) telah membersihkan abu di beberapa kawasan awam, termasuk taman dan jalan raya, dengan menyembur air.

"Langkah itu telah dilakukan di dataran kota Magelang sejak Sabtu lalu," katanya.

Encik Larsita berkata penguasa kota itu meneruskan usaha tersebut di lokasi lain pada Ahad.

Selanjutnya, penguasa tempatan telah membahagikan pelitup kepada orang ramai di beberapa lokasi bagi mengelakkan mereka mengalami masalah pernafasan.

"Penguasa kota juga telah menyediakan ubat-ubat mengatasi kerengsangan mata dan jangkitan bagi pernafasan. Kesemua ubat-ubat disediakan di pusat-pusat kesihatan masyarakat (puskesmas) bersama unit-unit bantuannya," kata Encik Larsita.

Sementara itu, Timbalan Mayor Magelang, Encik M. Mansyur, merayu orang ramai supaya membersihkan abu yang menyelubungi kawasan rumah mereka.

Beliau berkata pihaknya menjangka kesan letusan gunung berapi itu menjejas kegiatan penduduk, termasuk menjelang Ramadan, yang dijangka bermula 23 Mac.

Para pegawai telah melakukan kerja pembersihan di beberapa lokasi dan membuat persiapan untuk mengagih pelitup kepada pengunjung, ujar beliau.

Gunung Merapi terletak di perbatasan Jogjakarta dan wilayah Jawa Tengah. Menurut Pusat Pengembangan dan Penyelidikan Teknologi Bencana Geologi, ia mula mengeluarkan asap tebal pada 11 Mac sekitar 12 tengah hari waktu tempatan.

Ia memuntahkan awan panas sehingga tujuh kilometer tinggi, kata agensi pengurusan bencana dalam satu kenyataan.

Agensi itu merakamkan kejadian pengaliran lava dari gunung itu hingga sejauh 1.5 kilometer ke barat daya, semasa mereka menjalankan pemantauan pada pagi Sabtu itu. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg