AMSTERDAM: Pakar kesihatan menghadapi lebih tekanan daripada warga dunia berkenaan tahap keselamatan vaksin Covid-19 AstraZeneca.
Britain menghasilkan vaksin tersebut dengan kerjasama varsiti ulung dunia Universiti Oxford.
Isnin lalu, beberapa negara menggantung penggunaan vaksin itu demi menyiasat kesan sampingan yang barangkali wujud.
Antara negara yang menggantung penggunaan AstraZeneca ialah Jerman, Perancis, Italy, Sepanyol, Portugal, Denmark dan Norway.
Sweden dan Latvia semalam pula mengumumkan mereka akan berhenti menggunakan vaksin itu.
Hal ini sekali gus menjejas rancangan inokulasi Kesatuan Eropah (EU) menurut laporan agensi berita.
Justeru Agensi Perubatan Eropah (EMA) berkata mereka kini giat menyiasat laporan 30 kes luar biasa berkaitan darah dalam tubuh penerima vaksin.
30 kes itu berlaku daripada jumlah 5 juta orang yang mendapatkan suntikan AstraZeneca.
Secara keseluruhan, 45 juta suntikan vaksin Covid-19 sudah diberi kepada warga di rantau berkenaan.
Badan berkuasa EU itu akan mengumumkan dapatan siasatannya hari ini.
Namun, pemimpin EMA Emer Cooke berkata tiada sebab mahu mengubah pendirian mereka terhadap penggunaan AstraZeneca.
AstraZeneca satu daripada empat vaksin yang disahkan penggunaannya oleh pihak EMA, menurut laman pertubuhan itu.
Baki tiga vaksin ialah Comirnaty, Moderna dan Janssen.
"Kebaikan vaksin itu mengatasi risiko yang dibawa tetapi isu ini mencetuskan tahap keprihatinan yang serius dan memerlukan penilaian saintifik yang teliti," ujar Cik Cooke dalam satu sidang media semalam.
Jawatankuasa pakar daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menilaikan kes berkenaan. Mereka pula dijangka mengeluarkan kenyataan tidak lama nanti, menurut jurucakapnya.
Penolakan AstraZeneca berlaku apabila kes darah beku, pendarahan atau kiraan platelet rendah muncul dalam kalangan penerima.
Setakat ini, belum ada kaitan ditemui antara kejadian thromboembolism (darah beku yang menyumbatkan pembuluh darah lain) dengan vaksin seperti yang dilaporkan beberapa negara.
Diminta mengulas, jurucakap bahagian kesihatan Parti Demokratik Sosial Jerman Karl Lauterbach, yang juga pakar epidemiologi, berkata:
"Kebaikan pemvaksinan sangat mengatasi risiko yang wujud terutama sekali bagi warga emas. Namun, risiko vaksin mungkin lebih tinggi bagi kelompok tertentu misalnya wanita muda."
Dalam pada itu, pakar epidemiologi lain berkata bahawa kes serupa tidak wujud dalam jumlah yang banyak di Britain walhal negara tersebut lebih awal menggunakan AstraZeneca. Britain sudah pun menyuntik lebih 10 juta dos vaksin berkenaan ke dalam tubuh warga.
Pakar bidang farmakoepidemiologi Sekolah Kebersihan dan Perubatan Tropik London (LSHTM), Profesor Stephen Evans, berkata:
"Penjelasan yang wajar bagi segelintir kes barangkali memiliki kaitan dengan Covid-19 sendiri berbanding vaksin." - Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg