Sejumlah $165.1 juta dana MediFund diagihkan kepada rakyat Singapura yang memerlukan untuk menampung bil perubatan mereka pada tahun kewangan (FY) lalu, berakhir 31 Mac
Jumlah ini $9.1 juta, atau 5.8 peratus lebih tinggi berbanding tahun kewangan sebelumnya.
Menurut The Straits Times, ini merupakan kenaikan bantuan MediFund tahunan yang pertama setelah tiga tahun berturut-turut merekodkan penurunan, iaitu daripada $164.1 juta pada FY2021 kepada $156.3 juta pada FY2022 dan $156 juta pada FY2023.
MediFund membantu pesakit Singapura yang masih tidak mampu membayar bil perubatan mereka selepas subsidi pemerintah, potongan insurans dan MediSave.
Kenaikan agihan bantuan MediFund didorong oleh peningkatan bantuan yang disalurkan kepada pesakit di institusi penjagaan kesihatan awam (PHI) dan kemudahan penjagaan jangka pertengahan dan panjang (ILTC).
Bantuan berjumlah $119 juta diberikan kepada pesakit di PHI, seperti hospital awam dan poliklinik, iaitu naik $1 juta berbanding tahun sebelumnya. Ini juga merupakan kenaikan pertama dalam tempoh tiga tahun.
Bantuan untuk pesakit di kemudahan ILTC, seperti hospital komuniti dan rumah jagaan, meneruskan trend kenaikan sejak tiga tahun lalu, mencecah $46 juta. Ini adalah peningkatan 21.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.
MediFund telah ditambah baik sejak beberapa tahun kebelakangan.
Misalnya, MediFund Silver dan MediFund Junior diperkenalkan pada tahun 2007 dan 2013, masing-masing untuk menyediakan bantuan yang lebih bersasar kepada warga emas dan kanak-kanak daripada keluarga yang memerlukan.
Laporan tahunan MediFund di laman web Kementerian Kesihatan (MOH) menunjukkan terdapat 1,100,797 permohonan bantuan MediFund yang berjaya (termasuk MediFund Junior) dan MediFund Silver, naik 0.4 peratus berbanding tahun kewangan sebelumnya.
Dalam pengumumannya pada 28 November, MOH menyatakan: “Dengan adanya MediFund, tiada rakyat Singapura akan dinafikan akses kepada penjagaan bersubsidi yang sesuai hanya kerana mereka tidak mampu membayar.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg