Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Agong gesa AP bersatu padu, elak kemelut politik silih berganti PM

'Kemelut politik yang belenggu M'sia sejak empat tahun lalu boleh dielak'
Feb 14, 2023 | 5:30 AM
TIBA DI DEWAN RAKYAT: Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah (dua dari kiri) tiba bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah di acara pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat pada Isnin. - Foto AFP
TIBA DI DEWAN RAKYAT: Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah (dua dari kiri) tiba bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah di acara pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat pada Isnin. - Foto AFP -

KUALA LUMPUR: Kemelut politik yang membelenggu Malaysia sejak empat tahun lalu boleh dielakkan, demikian menurut Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

"Jika episod yang membawa kepada peletakan jawatan perdana menteri ke-7 (Dr Mahathir Mohamad) tidak berlaku, rantaian kemelut politik yang berlarutan sehingga kepada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) juga akan dapat dielakkan.

"Lebih penting lagi, kemelut politik yang membelenggu negara hampir empat tahun lamanya boleh dielakkan jika Ahli Parlimen (AP) dan ahli politik mengetepikan perbezaan dan bersatu padu semata-mata atas dasar untuk menjaga kepentingan rakyat dan negara," kata beliau dalam acara pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 yang bermula Isnin.

Dalam ucapannya, Sultan Abdullah menceritakan peristiwa yang berlaku sejak kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2020, termasuk menyaksikan tiga perdana menteri mengangkat sumpah.

"Hakikatnya, saya hanya melaksanakan amanah dan janji yang dituntut seperti mana yang telah saya lafaz dan ikrarkan.

"Saya tidak berniat untuk mencampuri urusan politik negara, apatah lagi untuk mengatur percaturan landskap politik tanah air.

"Pada pengamatan saya, jika episod yang membawa kepada peletakan jawatan Perdana Menteri ketujuh tidak berlaku, nescaya rantaian kemelut politik yang berlarutan sehingga kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 juga akan dapat dielakkan.

"Lebih penting lagi, kemelut politik yang membelenggu negara hampir empat tahun lamanya boleh dielakkan jika ahli Dewan Rakyat dan ahli politik negara bersedia mengetepikan perbezaan dan bersatu padu semata-mata atas dasar menjaga kepentingan rakyat saya dan negara yang kita cintai ini," ujarnya.

Selain itu, Sultan Abdullah juga menggesa agar usaha ditumpukan ke arah mencapai keharmonian kaum dalam usaha membanteras ekstremisme.

Beliau menegaskan perlunya wujud semangat muhibah dan saling menghormati antara kaum yang menjadi asas kepada kestabilan.

"Keutuhan keharmonian menerusi gagasan perpaduan yang berlandaskan prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan hendaklah dijadikan agenda utama demi nusa tercinta.

"Agenda perpaduan dalam konteks kebudayaan juga perlu diberi tumpuan melalui pelaksanaan program berorientasikan perpaduan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

"Ini juga selaras dengan ajaran Islam yang menganjurkan umatnya mengamalkan sifat tasamuh atau toleransi, dan menghindari gejala pelampau yang boleh menggugat keharmonian kaum," kata beliau lagi.

Sultan Abdullah berkata selepas 66 tahun merdeka, rakyat Malaysia seharusnya cukup matang untuk menjadikan perbezaan yang unik sebagai "rencah utama" dalam pembentukan bangsa Malaysia yang saling menyayangi dan menghormati antara satu sama lain, bertolak ansur dan bersatu padu.

Sidang Dewan Rakyat (Parlimen) berlangsung mulai Isnin hingga 30 Mac dan diikuti persidangan Dewan Negara pada 21 Mac hingga 6 April.

Selain itu, Belanjawan 2023 turut dijadual dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, di Parlimen pada 24 Februari. - BHM, FMT.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg