PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendedahkan Yang di-Pertuan Agong meminta beliau menjelaskan kepada rakyat berhubung sokongan majoriti yang dimilikinya untuk menjadi perdana menteri ke-10 kerana ada pihak mempertikaikannya.

Beliau berkata, penjelasan itu juga dibuat bagi mengelak kekeliruan dan tidak menyinggung kedudukan Raja-Raja Melayu.

"Seperti mana dalam perlumbaan, dia boleh potong round (pusingan) pertama. Kita potong round ketiga.

"Tetapi, yang penting ialah garisan penamat. Di garisan penamat, saya perolehi jumlah besar kerana orang beri pengakuan sebelumnya telah menarik balik sebelum tempoh 2 petang," katanya dalam Program Pertemuan Mahabbah Perdana Menteri bersama ulama dan asatizah kelmarin.

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah memberi masa sehingga 2 petang 21 November lalu kepada pemimpin parti politik untuk memutuskan gabungan parti bagi membentuk kerajaan dan mempersembahkan calon perdana menteri yang mendapat sokongan majoriti kepada baginda.

Tempoh itu kemudiannya dilanjutkan selama 24 jam ke 2 petang 22 November.

Mengulas lanjut, Datuk Anwar berkata dalam proses pemilihannya sebagai perdana menteri, gabungan yang memiliki jumlah kerusi paling banyak ketika itu adalah Pakatan Harapan (PH), diikuti Perikatan Nasional (PN).

Disebabkan tiada gabungan yang memiliki majoriti mudah, katanya, terdapat usaha mendapatkan akuan berkanun (SD) Ahli Parlimen sebelum tamat tempoh yang diberikan Agong.

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar menegaskan usul undi percaya di Dewan Rakyat pada 19 Disember ini bertujuan mendapatkan mandat lebih jelas untuk memimpin negara.

"Rasa perlu untuk adakan undi percaya kerana jumlah jelas dari PH, BN, GPS, GRS dan parti kecil lain.

"Saya jawab ampun Tuanku, ini bukan soal peraturan dan undang-undang dibangkitkan, tapi kerana saya mahu memimpin dengan mandat yang jelas, patik yakin perolehi majoriti.

"Andai kata tidak perolehi, patik akan tunduk kepada suara rakyat," katanya yang juga merupakan pengerusi PH. - Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti