AGONG Malaysia Sultan Abdullah Ahmad Shah telah mengizinkan kerajaan untuk tidak meneruskan undi percaya di Parlimen bagi menguji majoriti Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kata menteri undang-undang negara itu pada Selasa (7 Sept). Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Agong memberi keizinannya semasa mesyuarat dengan Datuk Seri Ismail baru-baru ini, lapor The Straits Times. "Perkara ini diberitahu oleh Perdana Menteri semasa mesyuarat Kabinet pertama," kata Datuk Wan Junaidi semasa sidang media di Putrajaya. Datuk Wan Junaidi juga berkata beliau berpendapat undi percaya tidak diperlukan buat masa ini, kerana Datuk Seri Ismail telah dilantik oleh Agong kurang sebulan yang lalu dan ini adalah selepas proses meluas di mana Agong mengesahkan sokongan Datuk Seri Ismail di kalangan Ahli Parlimen. "Dalam waktu yang begitu singkat, saya tidak melihat bagaimana (anggota parlimen) dapat mengubah pendirian mereka, dan berdasarkan ini, Agong telah setuju untuk tidak mempunyai usul percaya," kata menteri undang-undang de-facto itu. Datuk Seri Ismail disokong oleh majoriti 114 anggota parlimen, membuka jalan bagi Agong melantiknya sebagai perdana menteri kesembilan Malaysia pada 20 Ogos berikutan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Parlimen mempunyai 222 kerusi, dengan dua daripadanya kosong. Dua hari sebelum Datuk Seri Ismail dilantik dan pada puncak krisis politik di negara itu, Agong telah memutuskan bahawa perdana menteri baru harus segera menguji majoritinya melalui undi percaya di Parlimen. Komen Datuk Wan Junaidi itu dibuat beberapa hari selepas Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun mengeluarkan kenyataan yang mengatakan tidak perlu menguji majoriti Datuk Seri Ismail di Parlimen dan bahawa usul sedemikian boleh menggantikan kuasa diraja untuk melantik perdana menteri. Beliau juga berkata pada Sabtu bahawa langkah seperti itu tidak akan selari dengan Perlembagaan persekutuan. Parlimen Malaysia dijangka bersidang minggu depan buat pertama kalinya sejak Datuk Seri Ismail dilantik. Usul percaya tidak disenaraikan dalam agenda, menurut aturan urusan mesyuarat sidang Dewan Rakyat. Datuk Seri Ismail sebelum ini bertemu dan mencapai kesepakatan dengan pemimpin pembangkang untuk perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) antara kedua-dua pihak. Tetapi pemimpin pembangkang berkata perjanjian itu kini tergugat oleh perubahan nada kerajaan mengenai undi percaya. The Straits Times telah melaporkan Datuk Seri Ismail menarik diri daripada usul percaya kerana blok pembangkang utama Pakatan Harapan hanya menawarkan untuk berkecuali semasa undi percaya berdasarkan syarat-syarat CSA. Ini bermakna sekiranya ada undi percaya, Datuk Seri Ismail kemungkinan besar hanya akan memperoleh paling banyak 114 undian daripada anggota parlimen yang telah menyokong pelantikannya untuk menjadi perdana menteri apabila menemui Agong bulan lalu.