KUANTAN: Keadaan banjir di Pahang, Kelantan, Terengganu dan Perak bertambah buruk semalam berikutan hujan lebat yang masih berterusan menyaksikan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri-negeri yang terlibat terus meningkat.
Jumlah mangsa banjir di Pahang terus bertambah, mencecah 24,298 orang daripada 6,535 keluarga di sembilan daerah di negeri itu sehingga 8.30 pagi semalam.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan meninjau keadaan banjir di Pahang menggunakan helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia semalam.
Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan, Sultan Abdullah berlepas dari Pangkalan Udara TUDM Kuantan dengan menaiki pesawat EC725 pada jam 9 pagi semalam dengan diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail lapor Berita Harian Malaysia.
"Sultan Abdullah dijadualkan mendarat di Kuala Lipis untuk menyantuni mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Clifford dan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa.
"Selepas di Lipis, Yang di-Pertuan Agong akan ke Mentakab dan Temerloh juga untuk menyantuni mangsa banjir di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Mentakab serta PPS Dewan Majlis Perbandaran Temerloh," menurut kenyataan itu semalam.
Sultan Abdullah turut meninjau keadaan banjir di Pahang dengan memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda meredah banjir di Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1).
Daerah Maran yang teruk terjejas akibat banjir, menjadi lokasi pertama Al-Sultan Abdullah mencemar duli melawat mangsa banjir dengan diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, sebelum berangkat ke Kuantan.
Di Terengganu pula, sejumlah 5,243 orang daripada 1,326 keluarga telah dipindahkan ke PPS.
Di Johor pula, jumlah mangsa banjir melibatkan enam daerah terus berkurangan kepada 2,313 mangsa, berikutan enam lagi PPS ditutup sekali gus menjadikan hanya 20 PPS masih beroperasi ketika ini dengan Kota Tinggi masih mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu seramai 1,110.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R. Vidyananthan dalam kenyataan juga memaklumkan Jalan Mawai Lama, Kota Tinggi dan Jalan Haji Suhud di Johor Bahru masih ditutup sepenuhnya untuk semua kenderaan.
Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan daerah Temerloh mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 5,764, diikuti Maran (5,275), Kuantan (3,461), Lipis (2,551), Jerantut (2,455), Raub (2,182), Rompin (986), Pekan (859) dan Bera (724).
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) semalam mengeluarkan amaran cuaca buruk dan waspada, dengan hujan lebat dijangka di beberapa negeri sehingga Selasa depan.
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan, amaran cuaca buruk dengan hujan lebat berterusan diramal berlaku di Pahang membabitkan daerah Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin serta di Johor iaitu di Segamat, Mersing dan Kota Tinggi.
Dalam pada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata ia mempunyai keanggotaan mencukupi bagi menghadapi bencana banjir yang melanda enam negeri.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, jumlah anggota dan pegawai agensi itu kini seramai 12,500 orang membabitkan 320 balai di seluruh negara.
Katanya, pihaknya akan menggerakkan anggota dari negeri yang tidak terjejas banjir seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perlis dan Kedah ke negeri yang dilanda bencana alam itu.
selain menggerakkan aset dan sumber manusia di negeri yang terjejas, anggota di akademi bomba termasuk jurulatih mungkin akan digunakan bagi membantu di kawasan terjejas, tambah beliau.
Sehingga 4 petang semalam, seramai sembilan nyawa telah diragut banjir di Malaysia sejak korban pertama banjir dilaporkan pada 2 Januari lalu di Johor. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg