KUALA LUMPUR: Speaker Parlimen Malaysia, Datuk Johari Abdul, memberi amaran kepada mana-mana Ahli Parlimen (AP) yang menggunakan perkataan berbaur perkauman, menghina dan tidak berparlimen dalam persidangan Dewan Rakyat (Parlimen) akan dikenakan tindakan tegas.
Datuk Johari berkata perkara itu dipersetujui dalam pertemuan beliau bersama wakil AP kerajaan dan pembangkang pada Selasa mengenai perjalanan serta pembaharuan persidangan Parlimen, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
"Saya mengadakan pertemuan dengan Ketua Whip Kerajaan, Ketua Pembangkang, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan dan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN).
"Antara yang dipersetujui adalah Ahli Parlimen memberi komitmen yang tinggi untuk mempertahankan Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dalam memastikan perkataan yang berbaur perkauman, menghina dan tidak berparlimen tidak digunakan ahli Yang Berhormat.
"Saya berharap semua Yang Berhormat dapat memberi komitmen, demi menjamin perjalanan Dewan yang berkualiti dan beradab sopan serta menghayati prinsip kelima Rukun Negara, iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.
"Justeru, saya dan timbalan Yang Dipertua akan mengambil tindakan tegas berasaskan Peraturan Majlis Mesyuarat jika perkataan yang dimaksudkan itu masih disebut ahli Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini," katanya sebelum sesi perbahasan di Parlimen pada Rabu.
Dalam temuramah bersama BHM yang disiarkan 5 Februari lalu, Datuk Johari bertekad mahu melakukan beberapa reformasi, termasuk mengenakan tindakan lebih tegas terhadap wakil rakyat yang mengeluarkan perkataan berbaur perkauman, menghina dan diskriminasi jantina.
Ia termasuk mengenakan hukuman lebih berat terhadap AP yang melanggar etika supaya institusi penggubal undang-undang negara dihormati.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg