Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ahli Parlimen tidak diwajibkan guna tali leher di Dewan Rakyat

Feb 4, 2023 | 5:30 AM
REFORMASI: Perubahan dalam kod pakaian rasmi itu diputuskan oleh Speaker yang baru dilantik Datuk Johari Abdul yang cuba membawa kedua-dua reformasi prosedur dan fizikal ke Dewan Rakyat. - Foto REUTERS
REFORMASI: Perubahan dalam kod pakaian rasmi itu diputuskan oleh Speaker yang baru dilantik Datuk Johari Abdul yang cuba membawa kedua-dua reformasi prosedur dan fizikal ke Dewan Rakyat. - Foto REUTERS -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen tidak akan diwajibkan memakai tali leher semasa menghadiri Dewan Rakyat selama setahun mulai 13 Februari.

Perubahan dalam kod pakaian rasmi itu diputuskan oleh Speaker yang baru dilantik Datuk Johari Abdul yang cuba membawa kedua-dua reformasi prosedur dan fizikal ke Dewan Rakyat.

"Saya akan umumkan pada 13 Februari, hari pertama sesi, tiada tali leher sepanjang tahun," katanya kepada The Star ketika dihubungi.

Semasa sidang khas dua hari pada 19 Disember lalu, Datuk Johari memberikan pilihan kepada Ahli Parlimen untuk memakai tali leher semasa sidang keesokan harinya.

Buat pertama kali, ramai Ahli Parlimen, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak memakai tali leher semasa sidang pada 20 Disember lalu.

Pada 5 Disember lalu, kerajaan perpaduan Datuk Anwar menjadi tajuk utama apabila menteri-menteri bergambar tanpa tali leher selepas menghadiri mesyuarat Kabinet pertama mereka.

Ditanya sama ada kod pakaian batik pada Khamis akan kekal, Datuk Johari berkata "ya".

Pada Oktober 2021, Jawatankuasa Dewan membenarkan Ahli Parlimen dan Senator memakai baju batik Malaysia berlengan panjang apabila menghadiri persidangan Dewan Rakyat pada hari Khamis.

Walaupun beberapa ahli parlimen menyokong tindakan tidak bertali leher, ada yang lebih suka memakainya.

Ahli Parlimen Subang, Encik Wong Chen, berkata:

"Sejak Covid-19, budaya kerja pejabat global telah bergerak ke arah cara berpakaian yang ringkas.

"Bagaimanapun, saya akan memilih untuk memakai tali leher lebih kerap. Saya sudah biasa memakainya, dan ia juga memberikan sedikit formaliti dan personaliti," kata Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Machang, Encik Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata beliau akan mematuhi pendirian Perikatan Nasional sama ada penggubal undang-undang mereka perlu memakai tali leher atau tidak.

"Terpulang kepada mereka untuk membuat keputusan sedemikian. Bagi saya, saya akan akur dengan keputusan parti saya," kata ketua pemuda Bersatu itu.

Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Ahli Parlimen Kubang Kerian, menyatakan bahawa isunya bukan sama ada Ahli Parlimen perlu memakai tali leher atau tidak, sebaliknya mereka berpakaian mengikut peraturan dan etika.

"Pakaian mestilah kemas dan tidak boleh selekeh. Tidak memakai tali leher bukan satu isu kerana ia lebih sesuai dengan cuaca kita," katanya. - The Star.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg