Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ahli politik, aktivis prodemokrasi Myanmar dihukum mati kerana 'keganasan'

Jun 5, 2022 | 5:30 AM
HADAPI HUKUMAN MATI: Aktivis demokrasi terkemuka, Kyaw Min Yu - lebih dikenali sebagai 'Ko Jimmy' (kiri) dan bekas ahli parlimen Phyo Zeya Thaw, telah menolak rayuan mereka, setelah didapati bersalah atas kesalahan keganasan dan bakal dihukum gantung "mengikut prosedur penjara" kata rejim tentera Myanmar. - Foto AFP
HADAPI HUKUMAN MATI: Aktivis demokrasi terkemuka, Kyaw Min Yu - lebih dikenali sebagai 'Ko Jimmy' (kiri) dan bekas ahli parlimen Phyo Zeya Thaw, telah menolak rayuan mereka, setelah didapati bersalah atas kesalahan keganasan dan bakal dihukum gantung "mengikut prosedur penjara" kata rejim tentera Myanmar. - Foto AFP -

YANGON: Junta tentera Myanmar akan melaksanakan hukuman mati ke atas seorang bekas anggota parti Aung San Suu Kyi dan seorang aktivis demokrasi terkemuka, setelah kedua-duanya disabitkan kesalahan keganasan.

Ia adalah pelaksanaan hukuman mati pertama negara itu sejak 1990, kata seorang jurucakap kepada agensi berita AFP kelmarin.

"Empat orang, termasuk bekas ahli parlimen, Phyo Zeya Thaw dan aktivis demokrasi Ko Jimmy, yang dijatuhi hukuman mati akan digantung mengikut prosedur penjara," kata jurucakap junta, Mejar Jeneral Zaw Min Tun, memberitahu AFP.

Junta itu telah menjatuhkan hukuman mati kepada berpuluh-puluh aktivis antirampasan kuasa sebagai sebahagian daripada tindakan keras terhadap pembangkang selepas merampas kuasa tahun lalu, tetapi Myanmar tidak melaksanakan hukuman mati selama beberapa dekad.

Tertuduh, Phyo Zeya Thaw, ahli parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi pimpinan Aung San Suu Kyi ditangkap November lalu, dijatuhi hukuman mati Januari lalu atas kesalahan di bawah undang-undang antikeganasan.

Aktivis demokrasi terkemuka, Kyaw Min Yu - lebih dikenali sebagai 'Ko Jimmy' - menerima hukuman yang sama daripada tribunal tentera.

"Mereka meneruskan proses undang-undang merayu dan menghantar surat permohonan untuk pindaan hukuman itu. Namun, mahkamah menolak rayuan dan permintaan mereka. Tiada langkah lain selepas itu," kata jurucakap junta.

Tiada tarikh ditetapkan untuk hukuman mati itu, kata jurucakap itu.

Dalam pada itu, tentera junta Myanmar dipercayai telah membakar ratusan bangunan semasa serbuan tiga hari di utara negara itu minggu lalu, ketika tentera bergelut untuk menghancurkan penentangan terhadap pemerintahannya.

Penduduk tempatan melaporkan, tentera membakar ratusan bangunan di kampung Kinn, Upper Kinn dan Ke Taung, di wilayah Sagaing.

"Pada 26 Mei, penduduk kampung di Kinn melarikan diri ketika askar menghampiri dan mula menembak ke udara.

"Keesokan paginya kami melihat asap berkepul dari kampung kami sebelum mereka beredar di mana lebih 200 rumah terbakar termasuk rumah saya," kata penduduk yang enggan dikenali. - AFP

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg