Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ahmad Zahid dapatkan rawatan, tak hadir bicara mahkamah kes rasuah

Aug 25, 2021 | 5:30 AM
DATUK SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI: Berdepan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana Yayasan Akalbudi. - Foto fail
DATUK SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI: Berdepan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana Yayasan Akalbudi. - Foto fail -

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi telah mengeluarkan sepina ke atas doktor yang merawat Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, untuk menjelaskan keadaan kesihatan Presiden Umno itu.

Hakim Collin Lawrence Sequerah mengeluarkan arahan itu kepada doktor daripada Hospital Pakar Avisena di Shah Alam setelah mahkamah diberitahu Datuk Ahmad Zahid tidak dapat menghadiri perbicaraan rasuahnya semalam.

Hakim menyatakan sepina dikeluarkan agar doktor itu hadir di mahkamah bagi menjelaskan prosedur yang dijalankan terhadap Datuk Ahmad Zahid serta tempoh masa yang diperlukan sebelum tertuduh benar-benar pulih.

Sebelum ini, prosiding membabitkan tertuduh yang berdepan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana Yayasan Akalbudi, ditangguhkan pagi semalam, selepas Presiden Umno itu dimasukkan ke hospital bagi prosedur kecederaan tulang belakang.

Terdahulu, kes itu ditetapkan semalam bagi penghujahan lisan, selepas pihak pendakwaan menutup kesnya pada 19 Mac lalu.

Namun, ketika prosiding bermula, ketua peguam bela, Encik Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Datuk Ahmad Zahid, memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya tidak dapat hadir kerana perlu menjalani "prosedur intervensi kesakitan" di hospital.

Beliau berkata tertuduh mengalami kecederaan itu akibat terjatuh dan berada dalam kesakitan sekiranya duduk terlalu lama.

"Beliau sudah berada di bawah jagaan pihak hospital sejak Ahad lalu. Ahmad Zahid akan menjalani prosedur itu pagi ini (semalam) di sebuah hospital swasta," katanya.

Mendengar perkara itu, pihak pendakwaan yang diketuai Datuk Raja Rozela Raja Toran, memberitahu mahkamah pihaknya masih ingin meneruskan hujahan memandangkan sudah terlalu banyak penangguhan diberikan.

Hakim Sequerah kemudian mengatakan mahkamah perlu mengetahui apa yang dimaksudkan dengan "prosedur intervensi kesakitan" dan bersetuju untuk memanggil doktor.

"Kita mahukan kepastian mengenai pemulihannya. Kita tidak dapat menundakannya lagi. Saya mahu menyelesaikan kes ini tahun ini.

"Ini adalah kes 2019 dan sekarang sudah 2021. Saya tidak mahu ia berlanjutan hingga tahun depan," katanya.

Hakim kemudian mengeluarkan sepina terhadap Dr Mohd Shahir Anuar untuk hadir ke mahkamah pada 3.30 petang ini. - The Star, BHM

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg