Air New Zealand uji 'pasport vaksinasi' Covid-19 digital mulai Apr
WELLINGTON: Khidmat penerbangan Air New Zealand akan mencuba penggunaan pas kembara digital yang memberikan syarikat penerbangan dan penguasa sempadan akses pada keterangan kesihatan penumpang termasuk status vaksinasi Covid-19 mereka.
Ini didedahkan pada Isnin (22 Februari) oleh Air New Zealand, lapor agensi berita AFP.
Skim ini dipanggil 'pasport vaksinasi' oleh pengamat industri dan bertujuan memperkemas proses pengembaraan sejurus sempadan dibuka semula dengan membenarkan penumpang memuatkan butiran kesihatan mereka di dalam satu sistem aplikasi.
"Secara asas, ia seperti memiliki sijil kesihatan digital yang boleh dikongsi secara mudah dan selamat dengan pihak penerbangan," kata Ketua Pegawai Digital Air New Zealand, Cik Jennifer Sepull.
Skim ini bergantung pada aplikasi yang dibangunkan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa dan khidmat penerbangan lain termasuk Etihad dan Emirates yang sudah pun memohon bagi mengadakan proses percubaan mereka sendiri.
Naib Presiden Kanan persatuan ini, Encik Nick Careen, berkata 'pasport vaksinasi' ini adalah titik tolak penting dalam memulakan kembali kembara antarabangsa sedang vaksin Covid-19 diedarkan secara sejagat.
"Pemerintah boleh rasa yakin bahawa penumpang yang 'OK' untuk mengembara memenuhi sepenuhnya ketetapan kembara sewaktu tempoh Covid-19," katanya.
Encik Careen berkata aplikasi itu memastikan privasi dengan memberi pengguna kawalan mengenai data kesihatan yang diberi.
Percubaan Air New Zealand bermula April ini. - AFP