INDRAMAYU (Indonesia): Pengasas Pondok Pesantren dan Yayasan Al Zaytun, Panji Gumilang, dibebaskan dari penjara di Kabupaten Indramayu, Jawa Barat, pada 17 Julai selepas menjalani hukuman penjara satu tahun kerana menghina agama.
Panji memberi tabik hormat kepada beberapa penyokong yang menyambutnya di luar penjara, sebelum beredar dengan menaiki SUV Toyota hitam, lapor Jakarta Globe.
Panji, 78 tahun, ditahan pada 1 Ogos 2023 berikutan laporan bahawa sekolahnya mengajar pelajar menentang ajaran asas Islam.
Siasatan polis tertumpu kepada dakwaan kononnya pondok pesantren di Indramayu itu membenarkan lelaki dan wanita solat bersama-sama dalam saf yang sama semasa Aidilfitri dan membenarkan seorang wanita menjadi imam ketika solat berjemaah.
Panji juga dilaporkan membuat kenyataan kontroversi yang mendakwa bahawa Al-Quran “dicipta oleh Nabi Muhammad”.
Beliau sebelum ini dikaitkan dengan gerakan mendirikan negara Islam di Indonesia.
Pada 20 Mac 2024, Mahkamah Daerah Indramayu mendapati dia bersalah atas pertuduhan menghina agama dan dijatuhi hukuman penjara setahun.
Tempoh hukuman itu dipotong dari tempoh dia menjalani tahanan semasa praperbicaraan.
Seorang pegawai pemulihan berkata, Panji telah diberi pemotongan tempoh hukuman 15 hari semasa Aidilfitri lalu, bermakna dia telah menamatkan hukumannya pada 17 Julai 2024.
Pemerintah telah mengambil alih pengurusan semua sekolah di bawah yayasan Al Zaytun, selepas pengasas dan ketuanya itu dinamakan sebagai suspek penghinaa agama.
Menteri Hal Ehwal Agama, Encik Yaqut Cholil Qoumas, berkata bahawa pengambilalihan itu terutamanya berkaitan dengan sistem pendidikan dan tidak termasuk aset yayasan itu.
Keputusan itu dibuat susulan mesyuarat penyelarasan dengan Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kehakiman, Kementerian Koordinator Hal Ehwal Politik, Undang-undang dan Keselamatan dan Polis Negara. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg