KUALA LUMPUR: Aliran trafik tinggi dilaporkan di beberapa laluan di lebuh raya utama sejak awal pagi Khamis berikutan pertambahan jumlah kenderaan susulan orang ramai pulang ke kampung halaman menjelang sambutan Aidilfitri. Akaun rasmi di Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sehingga 8 pagi memaklumkan, beberapa laluan di Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak mencatatkan aliran trafik tinggi. Sebelum ini, LLM menjangka jumlah peningkatan trafik hingga 2.3 juta kenderaan sehari di tiga lebuh raya utama, yang dijangka berlaku berperingkat bermula Rabu hingga 7 Mei sempena perayaan Aidilfitri. Menurut kenyataan itu, bagi memastikan kelancaran aliran trafik dan mengurangkan kesesakan di lebuh raya, LLM mengarahkan syarikat konsesi lebuh raya mengambil beberapa langkah bagi meminimumkan kesan peningkatan trafik tersebut. Antaranya, mengarahkan semua syarikat konsesi lebuh raya untuk menghentikan kerja pembinaan dan penyelenggaraan yang membabitkan penutupan lorong lebuh raya bermula Selasa hingga 7 Mei ini. Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah mengumumkan tol percuma bagi semua 33 lebuh raya utama negara bermula 19 hingga 21 April dan 24 April. Ini sebagai sebahagian usaha kerajaan Malaysia mahu meringankan kos pengangkutan rakyat yang mahu pulang ke kampung menyambut Aidilfitri. - BHM
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg