WELLINGTON: Perdana Menteri New Zealand, Cik Jacinda Ardern, pada Sabtu (13 Mac) menegaskan New Zealand mempunyai "amanah" untuk dilaksanakan bagi menyokong masyarakat Islam di negara itu.
Dalam satu upacara peringatan penuh emosi bagi mengenang dua tahun sejak serangan masjid Christchurch berlaku, ratusan penduduk berhimpun dalam keadaan kawalan keselamatan yang ketat bagi mengenang 51 mangsa serangan yang terbunuh dan puluhan lain yang cedera apabila seorang lelaki bersenjata menyerang dua masjid pada 15 Mac 2019.
Salah seorang daripada mereka, Encik Temel Atacocugu, yang ditembak sembilan kali pada muka, lengan dan kakinya, menangis apabila beliau teringat semula detik dirinya menanti dirawat bersama bapa seorang kanak-kanak yang meninggal dunia dalam kejadian itu, Mucaad Ibrahim, tiga tahun.
"Tiba-tiba, kesakitan saya itu jadi tidak penting (berbanding kehilangan yang dirasakan bapa Mucaad)," kata Encik Atacocurgu kepada agensi berita AFP.
Menyusuli peristiwa berdarah itu, Cik Ardern dipuji penduduk merata dunia kerana keihsanan yang beliau pamerkan kepada mangsa yang terselamat nyawanya serta keluarga mangsa tembakan di samping langkah tangkasnya memperketat kawalan senjata api di New Zealand.
Dalam upacara memperingati mereka yang pergi itu, Cik Ardern berkata, di sebalik segalanya dan kata-kata yang mempunyai kuasa penawar, tiada yang dapat mengubah apa yang sudah berlaku.
"Lelaki, wanita dan kanak-kanak...nyawa mereka diambil dalam satu perbuatan keganasan. Kata-kata tidak akan melenyapkan rasa takut yang dirasakan masyarakat Islam," jelasnya.
Beliau menambah legasi yang dijunjung New Zealand haruslah menegakkan "negara lebih inklusif, yang harus berdiri megah dengan kepelbagaian kaum dan menerimanya penuh jiwa dan jika diperlukan, melindungi negara atau masyarakat yang terbabit seberapa yang termampu".
Encik Atacocugu menyatakan betapa ia suatu keajaiban beliau masih hidup.
"Sejak peristiwa itu, saya menjalani tujuh pembedahan utama dengan banyak lagi perlu dijalani. Saya membawa bersama saya banyak serpihan peluru dalam tubuh saya sehingga akhir hayat. Setiap kali saya menjalani pemeriksaan X-ray, ia menyala bagaikan pohon Krismas," katanya.
Cik Kiran Munir, isteri mangsa yang terbunuh, Encik Shaheed Haroon Mahmood, menjelaskan usaha membalas dendam yang terbaik adalah dengan "tidak menjadi seperti musuh". Menurutnya, masyarakat Islam di New Zealand belajar untuk bangkit semula lagi dengan bermaruah serta bergerak ke hadapan sebaik yang termampu.
Penyerang berkenaan merupakan Brent Tarrant yang mengaku dirinya pejuang keunggulan kaum kulit putih. Dia ditangkap beberapa minit selepas serangan dibuat ke atas Masjid Al Noor dan Pusat Islam Linwood.
Dia mengaku bersalah ke atas 51 dakwaan membunuh, 40 dakwaan percubaan membunuh dan satu kesalahan pengganasan. Dia dipenjara seumur hidup tanpa parol, kali pertama hukuman sebegitu dijatuhkan di New Zealand.
Minggu lalu, polis menangkap seorang lelaki berusia 27 tahun di Christchurch dan mendakwanya di atas kesalahan mengancam untuk membunuh menyusuli ancaman dalam talian kepada dua masjid berkenaan.
Sewaktu upacara memperingati peristiwa serangan ini, polis bersenjata dikerahkan di luar lokasi dengan anjing pemeriksa ditugaskan meninjau beg pengunjung yang memasuki bangunan itu. - AFP